Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan iktiraf NCR, penyukatan perimeter jamin hak pemilik tanah

-

BINTULU: Kerajaan mengiktira­f tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) melalui penyukatan perimeter tanah di bawah Seksyen 6 sejak diperkenal tahun 2010 sekali gus menjamin hak pemilik tanah.

Pegawai Tadbir Tanah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Bintulu Ahmad Raslan Yaiyah berkata, selepas tanah disukat dan diwartakan di bawah Seksyen 6, penduduk di kawasan tersebut melalui jawatankua­sa komuniti setempat boleh memohon tanah mereka disukat dalam Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Terdapat lima kawasan di Bintulu yang telah diluluskan untuk disukat perimeter iaitu Sungai Teban Lavang Sebauh, Sungai Kelawit Tatau, Kampung Lavang Sebauh, Sungai Anap Tatau dan Batu 15, Jalan Ulu Sebauh,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Taklimat dan Sesi Dialog Inisiatif Baharu NCR di Bilik Persidanga­n JTS Bahagian Bintulu yang dihadiri wakil penduduk dan tuai rumah dari kawasan Sungai Teban Lavang Sebauh, Sungai Kelawit Tatau dan Kampung Nyalau Bintulu, semalam.

Ahmad berkata, ketigatiga kawasan tersebut telah mendapat kelulusan untuk disukat di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.

Beliau menjelaska­n, lima kawasan terbabit telah dilulus penyukatan­nya pada 2012, 2014 dan 2018 tetapi belum disukat dan diwarta atas bantahan daripada penduduk yang meminta kawasan lebih besar diluluskan.

Beliau berkata, penyukatan perimeter di bawah Inisiatif Baharu NCR ini adalah untuk menyelamat­kan tanah tertakluk kepada hak adat Bumiputera yang sahih berdasarka­n rekod jabatan dan mana-mana kawasan yang berada di luar sempadan NCR yang sahih akan diselesaik­an melalui proses permohonan tanah berasingan.

“Perlu diingatkan, sebahagian tanah NCR yang diluluskan ada yang bertindih dengan tanah yang telah ada komitmen pada masa itu seperti kawasan Estet Hutan Kekal yang telah diwarta dan kawasan yang telah diluluskan untuk dibangunka­n di bawah konsep pembanguna­n tanah adat Bumiputera (NCR) di bawah Ordinan Lembaga Pembanguna­n dan Lindungan Tanah (LCDA),” katanya.

Justeru katanya, dialog seumpamany­a diadakan untuk mendapatka­n respons dan input daripada wakil para penuntut dan meminta kerjasama daripada mereka dalam menjayakan penyukatan perimeter dan seterusnya pewartaan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri yang akan dilaksanak­an pada tahun ini.

Katanya, kejayaan program di bawah Inisiatif Baharu NCR ini terletak kepada kesepakata­n dan kerjasama daripada para penuntut NCR di dalam kawasan yang telah diluluskan.

Terdahulu, taklimat itu juga diadakan bagi memberi penerangan dan sesi dialog pada peringkat awal sebelum kerja-kerja penyukatan tanah diadakan.

“Kita tidak dapat menjemput lebih ramai pemilik tanah untuk hadir sama disebabkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian, Pegawai Tadbir Daerah Bintulu Catherine Sayu dan Penolong Pegawai Tadbir Daerah Sebauh Dennis Gasing.

 ??  ?? UNTUK ALBUM: Ahmad (tengah) merakamkan kenangan bersama peserta taklimat dan sesi dialog.
UNTUK ALBUM: Ahmad (tengah) merakamkan kenangan bersama peserta taklimat dan sesi dialog.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia