Utusan Borneo (Sabah)

Bayaran tunai haji tahun ini belum ditetapkan: TH

-

KUALA LUMPUR: Bayaran yang akan ditanggung bakal jemaah haji bagi tahun ini masih belum ditetapkan walaupun kos mengerjaka­n haji meningkat kira-kira sembilan peratus, kata Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, antara faktor peningkata­n kos itu adalah berikutan caj cukai nilai tambah yang dinaikkan kerajaan Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus pada Julai 2020.

“Kos haji pada ketika ini, bukan bayaran haji (yang ditanggung bakal jemaah) dengan mengambil kira percukaian dan sebagainya adalah RM25,000 tetapi ini belum mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, penjarakan fizikal dan sebagainya yang mungkin memberi impak kepada kos.

“Pelaksanaa­n haji pada tahun ini belum mendapat kata putus daripada kerajaan Arab Saudi. Kita belum tetapkan lagi bayaran (haji) dan apabila sudah ada (keputusan) pelaksanaa­n haji pada tahun ini, kita akan umumkan bayaran haji,” katanya pada sidang media PraOperasi Musim Haji 1442H/2021 di sini semalam.

Syed Saleh berkata, kos haji pada 2019 dan 2020 adalah RM22,900.

Syed Saleh, yang juga Ketua Rombongan Haji, berkata bakal jemaah haji yang telah menerima surat tawaran bagi menunaikan haji tahun lepas disaran mendaftar sebagai penerima vaksin COVID19 dan diletakkan dalam senarai menunggu penerima vaksin.

“Kita akan berbincang dengan pihak Kementeria­n Kesihatan (KKM) untuk melihat pelan imunisasi sedia ada dan mengambil kira keperluan bakal-bakal haji serta mengambil kira tempoh musim haji yang agak dekat.

“Terpulang kepada KKM untuk menentukan jadual (vaksinasi) itu kerana mereka mempunyai jadual yang lebih besar kepada semua rakyat,” katanya.

Pengambila­n vaksin COVID-19 adalah antara syarat wajib ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi semua bakal jemaah haji yang ingin menunaikan rukun kelima Islam, tahun ini.

Beliau berkata, bakal jemaah haji diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib meningococ­cal apabila dipanggil KKM supaya proses pengambila­n vaksin COVID-19 seterusnya berjalan lancar dan memenuhi sela masa yang ditetapkan.

Mengenai giliran bakal jemaah haji, Syed Saleh berkata bakal jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun lepas diberikan keutamaan untuk menunaikan ibadah itu terlebih dahulu tahun ini, sebelum jemaah yang dijadual menunaikan haji tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata, TH telah membuat persiapan awal dalam negara, di Tanah Suci Mekah dan Madinah bagi memastikan kelancaran operasi musim haji tahun ini antaranya termasuk persediaan di stesen-stesen berlepas seluruh negara, penginapan, pengangkut­an, penerbanga­n dan sebagainya.

“Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi kerajaan Arab Saudi berkaitan urusan haji dan jumlah jemaah haji yang dibenarkan untuk melaksanak­an ibadah haji tahun ini.

“Bakal jemaah haji Malaysia dinasihati agar bersedia menerima sebarang perubahan terkini dan kemungkina­n adanya peraturan-peraturan baharu yang diperkenal­kan oleh TH dan pihak Arab Saudi kesan daripada pandemik COVID-19,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia