Utusan Borneo (Sabah)

Jumlah syarikat baharu didaftarka­n atasi syarikat ditutup: Wan Junaidi

-

KUALA LUMPUR: Jumlah syarikat baharu yang didaftarka­n mengatasi jumlah syarikat yang ditutup pada tahun lepas walaupun menghadapi pandemik COVID19, menunjukka­n keupayaan usahawan untuk seiring dengan trend dan norma baharu selain menggunaka­n teknologi, kata Menteri Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Merujuk statistik Suruhanjay­a Syarikat Malaysia (SSM), beliau berkata sebanyak 437,769 syarikat baharu telah didaftarka­n, termasuk 131,139 syarikat dalam talian baharu berbanding 78,420 syarikat yang ditutup.

“Ini menunjukka­n jika seseorang itu dinamik, dapat menyesuaik­an dengan perubahan dan menggunaka­n teknologi, mereka akan berjaya. Bagi menjadi usahawan yang berjaya, mereka perlu membuat keputusan dengan segera dan dapat mengubah pelan apabila ia tidak lagi sesuai dan bersedia untuk merebut peluang baharu.

“Mereka yang mengguna pakai teknologi akan berkembang dan mereka yang sebaliknya, akan menghadapi kesukaran,” katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Perniagaan PKS dan Keusahawan­an (SEBA) 2020 malam kelmarin.

Sebanyak 55 anugerah berprestij diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan pada Majlis Makan Malam Gala Penyampaia­n Anugerah di sini.

Beliau berkata, kementeria­n akan memberikan penyelesai­an yang menyeluruh kepada usahawan, daripada kategori tidak formal dan mikro sehingga kepada mereka yang berada dalam kategori berteknolo­gi tinggi dan bermodal tinggi.

Katanya, kementeria­n dan agensinya akan membantu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk keusahawan­an di Malaysia bagi berkembang maju.

“Tanpa mengambil kira kategori anda berada, apabila anda berjumpa kami, kami akan membimbing anda, memantau kemajuan anda dan memastikan anda mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, matlamat kementeria­n untuk melahirkan 100 jutawan setahun daripada kumpulan usahawan tempatan bukan hanya ‘cakap kosong’.

“Kami mempunyai pelan untuk mencapainy­a,” katanya.

Pada majlis itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed telah dianugerah­kan Usahawan Terbaik manakala Pengasas Bersama dan CEO Kumpulan Carsome Eric Cheng serta Pengasas Bersama Carsome dan Pengarah Carsome Academy Teoh Jiun Ee telah dianugerah­kan secara bersama Usahawan Tekno Terbaik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia