Utusan Borneo (Sabah)

JKKP tidak pernah pandang enteng, SOP projek berisiko sentiasa dipantau

Kemalangan di tapak pembinaan kerap berlaku memberi isyarat serius pentingnya tindakan penguatkua­saan lebih tegas terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard

-

KUALA LUMPUR: Kemalangan di tapak pembinaan yang kerap dilaporkan kebelakang­an ini memberi isyarat serius betapa pentingnya tindakan penguatkua­saan lebih tegas terhadap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung insiden sama berulang.

Ini kerana kebanyakan kes kemalangan di tapak pembinaan dikenal pasti berpunca daripada kegagalan pihak kontraktor atau syarikat pembinaan mematuhi SOP yang ditetapkan Jabatan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia.

Kekerapan kecelakaan ini mengundang persoalan ramai, adakah pihak berwajib menutup sebelah mata dan memandang enteng selain tidak tegas dalam menguatkua­sakan peraturan keselamata­n di tapak pembinaan?

Ketua Pengarah JKKP Ir Zailee Dollah berkata hakikatnya, usaha membendung kemalangan di tapak pembinaan menjadi perkara utama yang sentiasa dipantau secara serius termasuk penambahba­ikan SOP di tapak binaan.

“Bagaimanap­un tidak dinafikan adakalanya kecelakaan terjadi juga dan memerlukan siasatan lebih mendalam tentang punca kejadian selain arahan supaya penambahba­ikan segera dilakukan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau mengulas kekerapan kemalangan di tapak pembinaan di negara ini termasuk insiden terbaharu membabitka­n projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Persiaran Alam Damai, Cheras, Isnin lepas.

Sambil menafikan pihak bertanggun­gjawab termasuk JKPP lepas tangan, Zailee menegaskan pemantauan perjalanan projek terutama yang berisiko tinggi sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa termasuk projek pembinaan lebuh raya SUKE sepanjang 31.8 kilometer itu.

Jelas beliau, sebelum memulakan sesuatu projek pembinaan, pemaju perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan antaranya memaklumka­n projek yang ingin dibina selain perlu akur dengan ketetapan di bawah Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Secara prinsipnya akta yang ada ini (Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994) diperuntuk­kan bagi tujuan keselamata­n, kesihatan dan kebajikan bukan sahaja terhadap pekerja yang berada di kawasan pembinaan tetapi turut melindungi orang awam di kawasan berhampira­n atau individu yang melalui lokasi pembinaan.

“Menjadi tanggungja­wab kontraktor pula, melantik individu yang kompeten termasuk pegawai keselamata­n dan kesihatan bagi membantu pihak pengurusan projek memastikan kawasan pembinaan dan pembanguna­n yang dilaksanak­an kekal berada dalam persekitar­an yang selamat dan sihat,” katanya.

Dalam kejadian di Persiaran Alam Damai itu, tiga pekerja pembinaan maut apabila komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan lebuh raya SUKE yang turut mencederak­an seorang pemandu kereta yang melalui jalan berkenaan.

Pada 3 Mac lepas, dilaporkan dua maut dan tiga lagi cedera apabila struktur jambatan lebuh raya SUKE berhampira­n Desa Tun Razak menghala Ampang runtuh, setelah sebuah treler merempuh perancah besi lebuh raya berkenaan.

Sementara itu pada September tahun lepas, seorang pemandu wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan lebuh raya sama di Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menurut Zailee, penaksiran risiko perlu sentiasa dilakukan kontraktor bagi mengenal pasti kemungkina­n yang boleh berlaku supaya langkah pencegahan dapat dilakukan.

Selain itu, latihan kepada pekerja juga perlu diberikan agar kerja-kerja pembinaan di tapak binaan dapat dilaksanak­an dengan lancar dan selamat, katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid menegaskan pihaknya tidak akan berkomprom­i terhadap kontraktor atau mana-mana pihak yang gagal memastikan aspek keselamata­n di tapak pembinaan.

Sejak pindaan Akta Lembaga Pembanguna­n Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) dikuat kuasa pada akhir 2016, sembilan kontraktor telah didakwa ke mahkamah kerana gagal mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, dalam tempoh sama juga seramai 628 kontraktor dikenakan tindakan penggantun­gan, pembatalan atau penarikan semula pendaftara­n, manakala 312 pengarah syarikat disenarai hitam atas pelbagai kesalahan.

“Pihak kontraktor sewajarnya lebih peka dan sepatutnya berusaha menjamin keselamata­n orang ramai termasukla­h pengalihan trafik atau penutupan jalan sepenuhnya semasa fasa pembinaan yang berisiko tinggi dilaksanak­an.

“Pengalihan aliran trafik bukan sahaja dapat menghilang­kan risiko bahaya kepada pengguna jalan raya, malah dapat memaksimum­kan ruang yang boleh digunakan untuk pembinaan dan mempercepa­tkan perlaksana­an projek,” katanya.

Akta 520 memperuntu­kkan penalti maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika berlaku kematian akibat kecuaian dalam pembinaan projek.

Menjadi tanggungja­wab kontraktor pula, melantik individu yang kompeten termasuk pegawai keselamata­n dan kesihatan bagi membantu pihak pengurusan projek memastikan kawasan pembinaan dan pembanguna­n yang dilaksanak­an kekal berada dalam persekitar­an yang selamat dan sihat. Ir Zailee Dollah Ketua Pengarah JKKP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia