AirAsia terus tawar khidmat perubatan menyeluruh dengan kerjasama Naluri
KUCHING:AirAsia kini menawarkan kepada penggunanya pengalaman holistik merangkumi keperluan kesejahteraan dan kesihatan mereka.
Selain melancarkan AirAsia Health iaitu platform digital pertama seumpamanya di ASEAN yang menawarkan perkhidmatan perubatan menyeluruh pada November 2020, pihaknya meneruskan usaha ini dengan kerjasama Naluri.
Naluri merupakan penyedia perkhidmatan kesihatan digital yang terbukti secara klinikal, untuk membantu pengguna memulakan gaya hidup lebih sihat dengan Naluri Food Journal, sebahagian daripada ciri Nutrition Improvement Program yang tersedia secara percuma untuk semua pengguna Airasia Super App.
Naluri Food Journal menjadikan penjejakan kalori makanan lebih mudah dengan hanya memuat naik gambar makanan anda.
Bukan seperti catatan tradisional, Naluri memberikan penilaian makanan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan serta nasihat pemakanan dan diet daripada pasukan Naluri yang terdiri daripada pakar berdaftar.
Ciri baharu yang menarik ini kini tersedia untuk berjuta-juta pengguna airasia super app di Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi AirAsia Super App Pablo Sanz Salcedo berkata, pihaknya berbangga memperkenalkan ciri kesejahteraan pertama di airasia super app untuk semua melalui Nutrition Improvement Program dengan Naluri Food Journal.
Menurutnya, ini adalah masa yang penting untuk menjaga kesihatan dan oleh itu, pihaknya mahu memainkan peranan dalam membantu berjuta-juta pengguna untuk memulakan gaya hidup lebih sihat.
“Integrasi aplikasi mini pertama ini merupakan satu kejayaan dalam perjalanan aplikasi super kami di mana kami berhasrat bekerjasama dengan pemaju aplikasi dan komuniti pemula niaga untuk menyediakan platform kepada mereka dalam ekosistem kami dan meningkatkan kemampuan mereka melalui satu platform daftar diri, pilihan pembayaran yang dioptimumkan dan akses kepada platform logistik kami.
“Nantikan pelbagai fungsi Naluri yang bakal diintegrasikan dalam ekosistem kami dan lebih banyak aplikasi mini yang lain di platform kami,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat memulakan perjalanan baharu bersama Azran OsmanRani, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Naluri sekali lagi, yang pernah bertugas di AirAsia mengendalikan salah satu syarikat penerbangan kami dan kini beliau bekerjasama dengan AirAsia Super App sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan digital.
Naluri Food Journal yang merupakan sebahagian daripada Nutrition Improvement Program, adalah salah satu daripada pelbagai Aplikasi Mini yang akan dilancarkan di AirAsia Super App untuk melengkapkan gaya hidup anda.
Dapatkannya secara percuma untuk masa terhad mulai hari ini melalui versi baharu super app. Muat turun AirAsia Super App di App Store atau dapatkannya di Google Play.