Hamilton juarai perlumbaan pembuka tirai F1 GP Bahrain
Juara tujuh kali itu pamer pemanduan cemerlang, pertahan kedudukan dengan menangani cabaran Verstappen
Juara tujuh kali itu pamer pemanduan cemerlang, pertahan kedudukan dengan menangani cabaran Verstappen
SAKHIR: Lewis Hamilton mempamerkan satu lagi pemanduan cemerlang untuk menangani cabaran Max Verstappen dan memenangi perlumbaan pembuka tirai Formula Satu (F1) musim ini di Grand Prix Bahrain pada Ahad.
Juara dunia tujuh kali itu mempertahankan kedudukannya dengan baik pada pusingan terakhir untuk menafikan kemenangan Verstappen dan meraih kemenangan ke-96 sepanjang kerjayanya.
Pemandu pasukan Mercedes itu mengatasi Verstappen, pemandu pasukan Red Bull dengan jurang masa yang tipis selepas Verstappen terbabas sedikit dari litar ketika cuba memintas sebelum ini.
Seperti yang dijangkakan, Hamilton dan pengalamannya membolehkan beliau melepasi garisan penamat terlebih dahulu, dengan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas menduduki tangga ketiga, ketinggalan 37 saat.
Ia adalah kemenangan pertama Hamilton pada perlumbaan pembuka musim sejak 2015 dan mengejutkan ramai pemerhati selepas Red Bull menguasai uji pandu pramusim dan dua hari sesi latihan dan ujian masa kelayakan di sini.
“Pertama sekali, saya boleh berkata ia adalah kali pertama saya melihat penonton sejak sekian lama,” kata Hamilton.
“Satu perlumbaan yang hebat – masuk pit lebih awal kerana kami tahu ia pastinya sukar tetapi kami terpaksa melakukannya untuk mencabar Max dan ia sentiasa memerlukan sesuatu yang istimewa untuk melakukannya.”
Verstappen, yang ternyata kecewa dengan keputusan itu, berkata: “Sudah tentu ia mengecewakan tetapi anda juga harus melihat perkara positif. Kami memberikan saingan yang kuat kepada mereka, jadi ia sememangnya menarik untuk memulakan musim seperti ini.”
Lando Norris menduduki tempat keempat untuk pasukan McLaren, di hadapan Sergio Perez, yang bermula di lorong pit untuk Red Bull, diikuti Charles Leclerc dari Ferrari dan Daniel Ricciardo dari McLaren.
Carlos Sainz menduduki tempat kelapan untuk Ferrari, di hadapan pemandu baharu dari Jepun, Yuki Tsunoda dari pasukan Alpha Tauri dan Lance Stroll dari pasukan Aston Martin untuk melengkapkan senarai 10 pemandu teratas yang menamatkan perlumbaan dalam kutipan mata.
Bermula di petak pertama buat kali keempat, Verstappen mengekalkan kedudukan dan mendahului perlumbaan dari selekoh pertama namun perlumbaan terganggu oleh kemalangan Nikita Mazepin dari pasukan Haas menyebabkan Kereta Keselamatan dipanggil ke dalam litar.
Kemalangan Mazepin itu mengimbau kembali kemalangan yang berlaku kepada Romain Grosjean tetapi Mazepin tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas perlumbaan disambung semula, pemandu Alpha Tauri, Pierre Gasly, hilang sayap hadapan kereta selepas berlanggar dengan Ricciardo sementara Mick Schumacher terbabas sedikit di selekoh keempat dengan Kereta Keselamatan Maya (VSC) diaktifkan.
Hamilton kekal kurang dua saat di belakang Verstappen sehingga pusingan ke-14 apabila beliau memasuki pit lebih awal untuk menukar tayar.
Verstappen, yang mengadu beberapa masalah, masuk tidak lama selepas itu dengan Hamilton mendahului perlumbaan buat kali pertama.
Menjelang pusingan ke-23, kelebihan 3.8 saat Hamilton berbanding Verstappen berjaya dikurangkan kepada satu
saat.
“Satu perlumbaan yang hebat – masuk pit lebih awal kerana kami tahu ia pastinya sukar tetapi kami terpaksa melakukannya untuk mencabar Max dan ia sentiasa memerlukan sesuatu yang istimewa untuk melakukannya. ”
Lewis Hamilton Pemandu pasukan Mercedes
Dan merasakan Verstappen semakin hampir, Hamilton kembali semula ke pit untuk menukar tayar pada pusingan ke-29 dan kembali ke litar dengan ketinggalan 20 saat di belakang Verstappen.
Verstappen memasuki pit sekali lagi pada pusingan ke-40 dan kembali ke litar di kedudukan kedua, lapan saat di belakang Hamilton untuk pecutan terakhir.
Verstappen mengekalkan kepantasan untuk merapatkan jurang kepada kurang dua saat pada pusingan ke-49 dan ketika berbaki lima pusingan, Hamilton hilang fokus dan terbabas sedikit pada selekoh ke-10, membolehkan Verstappen semakin merapatkan kedudukan. Verstappen cuba memintas pada pusingan ke-53 tetapi terkeluar sedikit dari litar ketika Hamilton menggunakan segala pengalamannya untuk menangani cabaran sehingga ke garisan penamat. — AFP