BERSATU SIAP SIAGA HADAPI PRU-15
Hajiji mahu kepimpinan memperkasa gerak kerja di akar umbi
KOTA KINABALU: Kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah perlu memperkasakan gerak kerja bagi memperkukuhkan jentera dan khidmat bakti BERSATU di akar umbi.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, BERSATU Bahagian dan Cawangan, Srikandi, Armada Bahagian serta Cawangan perlu berada dalam keadaan terbaik, bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya ke-15 (PRU-15).
“Kita perlu menambah keahlian parti dan memastikan permohonan keahlian dapat diproses dengan segera.
“Kita memohon kerjasama ibu pejabat parti untuk memastikan penubuhan cawangancawangan dan keahliankeahlian baharu mendapat kelulusan rasmi pada kadar segera untuk membolehkan gerak kerja dilaksanakan secara menyeluruh di akar umbi,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun BERSATU Sabah ke-2 di sini, kelmarin.
Beliau yang juga Ketua Menteri menyarankan Srikandi, Armada perlu bergerak secara agresif dengan melaksanakan strategi serta pendekatan yang berkesan untuk menarik minat dan sokongan generasi muda kepada parti.
Katanya, bagi memastikan semua gerak kerja ini dilaksanakan dengan berkesan, beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan BERSATU Sabah untuk bergerak memantau persiapan jentera parti di seluruh bahagian.
Dalam pada itu katanya, kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membolehkan Petronas mula menunaikan tanggungjawab membayar cukai jualan yang telah ditetapkan ke atas produk petroleum.
Katanya, ia sekali gus berupaya meningkatkan hasil negeri untuk dimanfaatkan demi kepentingan rakyat.
“Atas sebab itu, BERSATU Sabah dan seluruh rakan-rakan parti komponen GRS komited untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.
“Kita di Sabah perlu bertindak untuk memastikan Kerajaan Persekutuan dan Negeri berada dalam keadaan stabil demi kepentingan rakyat dan tanah air,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden
BERSATU Malaysia Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta kepimpinan BERSATU yang lain.