Dobi tradisional guna seterika antik masih mampu tarik pelanggan
zaman serba canggih ini, manusia akan menggunakan pelbagai teknologi moden yang ada termasuk membasuh dan menggosok pakaian bagi mendapatkan kepuasan, menjimatkan masa selain memudahkan tugasan harian.
Namun masih ada juga yang mencari perkhidmatan membasuh dan menggosok pakaian ala tradisional menggunakan teknik lama termasuk seterika elektrik antik berusia lebih 50 tahun seperti yang ditawarkan sebuah kedai dobi di Jalan Silibin, di Ipoh, Perak.
Pengusaha dobi, K Elangovathy, 74, berkata perkhidmatan unik itu dimulakan mendiang suaminya, S Supramaniam sejak 46 tahun lepas dan kini beliau menyambung legasi tersebut bersamasama adik ipar perempuannya,
S Susila, 68.
Ditemui Bernama di kedai dobinya baru-baru ini, Elangovathy yang berasal dari Ipoh akan menggosok setiap pakaian menggunakan seterika antik itu yang lebih mudah untuk menghilangkan kedutan pada pakaian seterusnya akan dilipat dengan kemas untuk diserahkan kepada pelanggan semula.
Beliau berkata setiap pakaian akan direndam dalam air biasa terlebih dahulu dan menggunakan sabun pencuci
dan pelembut pakaian manakala bagi fabrik berwarna putih pula, serbuk penaik akan dicampurkan dengan sabun pencuci bagi memastikan fabrik berkenaan kelihatan putih dan bersih.
“Bagi kain sari pula, ia perlu diberus dengan berus yang lembut bagi menjaga kualiti kain dan tidak boleh berus dengan kasar,” katanya.
Menurutnya setiap kain yang perlu dicuci hanya direndam tidak kurang setengah jam sahaja dan akan diberus sebelum dijemur untuk tempoh tertentu mengikut ketebalan kain, namun apabila musim tengkujuh ia akan mengambil sedikit masa untuk kering sepenuhnya.
Sedar akan peredaran masa dan kecanggihan teknologi dalam perkhidmatan dobi, beliau akan sedaya upaya meneruskan legasi traditional ini mengikut kemampuan dan kudrat yang ada.
“Saya akan usahakan dobi ini selagi saya larat. Sekarang saya dan adik ipar sudah berusia dan tidak larat sangat, jadi saya hanya menerima lebih kurang 20 helai pakaian sehari sahaja berbanding dahulu mampu menyiapkan sehingga beratus helai sehari. Jika dahulu, saya menerima (pendapatan) sehingga RM600 sehari tetapi sekarang RM50 sehari sahaja sebab sudah tidak berapa larat,” katanya.
Seorang pelanggan yang kebetulan ditemui di kedai dobinya, K Kumaresan, 58 berkata dia menghantar pakaian tradisi masyarakat India seperti sari atau dhoti setiap tiga bulan sekali untuk dibasuh dan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. “Pakaian yang dicuci sangat bersih dan lipatannya sangat kemas, memang mengikut kehendak saya. Pakaian di sini di cuci bersih, dilipat dan digosok dengan baik. Ia tidak sama kalau dilakukan di kedai dobi biasa,” katanya yang berasal dari Jelapang di Ipoh.
Dobi tradisional itu dibuka dari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan tidak beroperasi pada hujung minggu. — Bernama