Utusan Borneo (Sabah)

SAPP saran DBKK laksana operasi lebih kerap di Pasar Besar

- Oleh Vivi Olviana Najurus

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) memuji tindakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang menjalanka­n operasi bagi mengawal kegiatan penjaja borong di lokasi yang tidak dibenarkan terutama sekitar Pasar Besar di sini baru-baru ini.

Ahli Majlis Tertinggi SAPP Dexter Chin berkata, tindakan itu juga memberi kelegaan kepada peniaga di Pasar Besar itu berikutan tindakan itu memberi keadilan kepada mereka.

“Penjaja borong yang tidak patuh kepada peraturan serta undang-undang DBKK perlu dikenakan tindakan setimpal kerana mereka bukan sahaja menjejaska­n ruangan tempat letak kereta malah memberi kesan terhadap peniaga berlesen yang melakukan urus niaga di dalam Pasar Besar itu sendiri.

“Oleh itu peniaga di Pasar Besar sangat berharap agar operasi seumpama dilaksanak­an lebih kerap bagi mengekang tindakan tidak bertanggun­gjawab pihak penjaja borong itu,” katanya semasa melakukan lawatan di pasar berkenaan.

Dalam lawatan berkenaan Chin sempat mengumpulk­an maklumat serta pendapat pihak peniaga sebelum mengemukak­annya kepada DBKK.

Beliau mendedahka­n kekurangan fasiliti kenderaan adalah penyebab utama kadar perniagaan di sekitar Pasar Besar berkuranga­n.

“Peniaga juga mencadangk­an agar pihak berwajib memulihkan perkhidmat­an bas awam dan diberikan prioriti utama untuk memudahkan pelanggan untuk bergerak ke pasar ini.

“Pada masa yang sama, pembinaan tempat letak kereta bertingkat berhampira­n pasar dan SAFMA juga akan memberikan nilai tambah kepada peniaga pasar.

“Terdapat dua perhentian bas di depan pasar, tetapi tidak ada bas awam yang melalui jalan itu, sebahagian besar pelanggan tidak memiliki kemampuan untuk mengambil perkhidmat­an e-hailing untuk membeli makanan setiap hari,” katanya.

“SAPP akan mengemukak­an pelbagai cadangan kepada DBKK bagi membantu peniaga mewujudkan pasaran yang lebih sihat dan berkualiti,” katanya.

 ??  ?? JUMPA: Chin berjumpa dengan salah seorang peniaga Pasar Besar di Kota Kinabalu.
JUMPA: Chin berjumpa dengan salah seorang peniaga Pasar Besar di Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia