Utusan Borneo (Sabah)

AS kenakan sekatan, usir diplomat Rusia

Sebagai tindak balas terhadap tuduhan campur tangan pilihan raya, kegiatan siber

-

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengenakan sekatan terhadap Rusia dan mengusir 10 diplomat negara itu sebagai tindak balas terhadap tuduhan campur tangan pilihan raya dan kegiatan siber, lapor Xinhua.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Presiden Joe Biden telah menandatan­gani perintah eksekutif sekatan baharu terhadap Rusia.

Menurut perintah itu, Jabatan Perbendaha­raan AS mengeluark­an arahan melarang institusi kewangan AS mengambil bahagian dalam pasaran utama bon denominasi rubel atau bukan rubel yang dikeluarka­n selepas 14 Jun 2021, oleh Bank Pusat Rusia, dana perbendaha­raan negara, atau kementeria­n kewangan.

Perbendaha­raan juga mengenakan sekatan ke atas enam syarikat teknologi Rusia yang “menyokong program siber Perkhidmat­an Perisikan Rusia,” dan 32 entiti serta individu kerana campur tangan Pilihan Raya Presiden AS 2020, kata kenyataan itu.

Di samping itu, Perbendaha­raan, bersama Kesatuan Eropah, Britain, Australia, dan Kanada, menyenarai hitam lapan individu dan entiti berhubung kait isu Crimea.

AS turut mengusir 10 petugas misi diplomatik Rusia di Washington D.C. termasuk wakil Perkhidmat­an Perisikan Asing Rusia.

Tahun lalu Perkhidmat­an Perisikan Asing Rusia turut didakwa melakukan penggodama­n SolarWinds.

Langkah itu diambil beberapa hari selepas Biden memberi amaran kepada rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bahawa AS akan “bertindak tegas untuk mempertaha­nkan kepentinga­n negaranya sebagai tindak balas terhadap tindakan Moscow, seperti penceroboh­an siber dan campur tangan pilihan raya.”

Kremlin berulang kali menafikann­ya dan menyifatka­n tuduhan campur tangan dalam pilihan raya AS 2020 tidak berasas selain kesal ia dijadikan alasan untuk mengenakan sekatan tambahan.

Hubungan antara Washington dan Moscow tegang sejak beberapa tahun kebelakang­an ini. Kedua-dua pihak bercanggah pendapat mengenai isu Ukraine, Syria, dan keselamata­n siber, serta saling menuding jari wujud campur tangan politik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia