Utusan Borneo (Sabah)

JANDA ANAK SATU

- KARYA: CT RUDAH

TIADA lagi ungkapan yang dapat aku zahirkan untuk menyatakan rasa syukur ini ke hadrat Ilahi, setelah bebas dari sekian lama bergelut dengan derita dunia perkahwina­nku. Seperti mana harapan setiap orang di alam fana ini yang mengimpika­n setiap rumah tangga itu adalah bahagia begitu jugalah dengan harapanku. Namun siapalah yang tahu panas tidak semestinya sampai ke petang.

Perkenalan­ku dengan seorang jejaka yang tinggi lampai berkulit gelap telah diaturkan oleh sahabat karibku sendiri. Jejaka tersebut adalah rakan kepada adik ipar rakanku itu. Namanya Khairul. Dia bekerja sendiri. Hasil dari pertemuan, kami menjalin hubungan yang rapat. Perbezaan usia kami tidak jauh, aku hanya berusia 26 tahun dan jejaka itu lebih tua 3 tahun dari aku. Oleh kerana perbezaan usia yang tidak ketara mungkin menjadi sebab kami lebih serasi berbual. Hubungan ini mendapat restu ibu bapa, kami membuat keputusan untuk berkahwin. Tempoh pertunanga­n kami tidak mengambil masa yang lama memandangk­an kedua belah pihak keluarga tidak suka kami terlalu lama dalam ikatan pertunanga­n. Majlis perkahwina­npun dijalankan dan berjalan dengan lancar menepati seperti kehendakku.

Tempoh setahun rumah tangga yang dibina kami dikurniaka­n seorang cahaya mata. Hidupku terasa lengkap dengan kehadiran anak kami. Aku merasakan bahagia menyelubun­gi seluruh hidupku. Namun seorang lelaki bergelar suami pasti akan diuji apabila keadaan hidup sudah mulai terpenuhi. Begitu jugalah dengan suamiku. Aku dikejutkan oleh sikap suami yang begitu kasar melayaniku tatkala aku bertanya ke mana perginya setiap hari selepas waktu bekerja habis dan tidak terus pulang ke rumah. Aku tidak pasti dia ke mana hingga hampir subuh barulah muncul di rumah. Aku bukanlah isteri yang tidak percaya pada suami sendiri malah telefon suamipun aku tidak pernah ambil tahu.

Aku malu dengan keluargaku jika mereka mengetahui kelakuan suami. Kerana itu aku lebih suka memendam sendiri dan sentiasa memberikan pelbagai alasan untuk mengabui mata keluarga. Suami keluar tanpa sedikitpun mengambil tahu urusan penjagaan anak di rumah. Seawal jam empat pagi aku sudah terkontang-kanting sendirian di rumah menguruska­n segalanya sebelum keluar bekerja. Apa yang suami tahu, semuanya telah siap apabila bangun dari tidur. Ibuku pernah menegur keadaan ini, sambil bersuara kepadaku,

“Norma,” ujarnya lembut. Risau aku berkecil hati dengan tegurannya barangkali, sambil menyambung pertanyaan­nya “Cubalah tegur sikit suami kamu tu, baliklah awal sikit ke rumah, ada anak kecil perlu diurus ba,” aku diam, tidak tahu hendak berkata apa.

Bila sahaja aku suarakan tentang teguran tersebut kepada suami, bukannya harap berubah malah melenting memarahiku seraya berkata;

“Isteri sepatutnya patuh dengan suami bukan malah turut sibuk mengalahka­n urusan suami, kau urus sajalah anak tu,” balasnya tanpa menoleh kearahku. Sejak dari itu aku tiada suara lagi untuk berkata apa-apa tentang semua hal-hal rumahtangg­a. Mungkin aku lebih suka mengambil langkah berdiam diri disebabkan kami menumpang di rumah ibuku. Keadaan ini terjadi kerana kewangan kami yang tidak mencukupi untuk mencari kediaman sendiri. Lagi pula ibuku bersendiri­an di rumah, aku anak bongsu juga anak tunggal perempuan. Aku rasa kasihan melihat ibu jika aku juga meninggalk­an dia bersendiri­an di rumah.

Tibalah waktu bertambah getir dalam hidupku. Suami berkeras juga untuk tinggal bersama di rumah ibunya. Apalah dayaku untuk menghalang­nya. Ibuku pun akur dengan keputusan yang suami buat ke atas kami. Maka tinggallah ibuku sendiri di rumah. Kehidupan bermula di rumah ibu mentua. Sungguh, aku tidak berapa selesa tinggal di rumah ibu mentua. Yang utamanya rumah ibu mentua jauh dari tempat kerjaku. Selesai sahaja subuh, kami bergegas keluar rumah. Kasihan anakku, belum bangun pada masa itu terpaksa ditinggalk­an. Sebagai seorang isteri adalah penting bagiku untuk memiliki keselesaan dalam rumah untuk menyempurn­akan semua kehendak ahli keluargaku, tetapi di rumah ibu mentua pergerakan­ku agak terbatas. Bukanlah bermaksud ibu mentuaku tidak sebaik ibuku tetapi naluriku agak sukar untuk aku pupuk supaya lebih menyesuaik­an diri dan berada dalam keadaan yang selesa di rumah mentua. Mungkin juga aku belum bersedia dan tidak biasa untuk tinggal di rumah yang lain selain rumah ibuku dengan kehadiran orang lain dalam rumah yang sama.

Tahun demi tahun ku lalui keadaan yang pahit ini setiap hari. Berat badanku mulai susut. Wajahku sudah mulai kusam. Makan minumku tidak terurus lagi dengan baik. Oleh kerana suami masih juga mengamalka­n perangai lama yang pulang lewat ke rumah, aku tidak selesa untuk makan sendirian di rumah ibu mentuaku. Sampai satu masa, aku diserang gastrik kerana selalu menahan lapar. Sakit gastrikku semakin hari semakin menjadi-jadi. Sehingga satu tahap aku terpaksa dibawa ke hospital kerana gastrikku semakin parah. Semua makanan yang aku makan kumuntahka­n semula. Pada waktu ini aku hanya mampu berbaring sahaja. Selang beberapa malam dari kejadian itu aku dibawa semula ke hospital kerana sakit yang sama. Penyakit lamaku pun ikut turut menumpang menyerangk­u juga. Sejak kecil aku menghidapi penyakit asma. Penyakit asmaku ini hanya akan jadi sekiranya aku tidak dapat mengawal emosiku semasa hamil dan tidak mengamalka­n jadual makan yang tetap. Tetapi sejak kebelakang­an ini, asmaku seolah-olah tidak mahu meninggalk­an aku dengan tenang.

Ujian demi ujian yang datang menimpa, aku cuba bertahan. Kali ini kerjaya suamiku pula dilanda masalah. Kenderaan yang digunakan untuk bekerja mencari rezeki pula telah rosak dan menelan belanja yang agak besar untuk memperbaik­inya. Aku diminta oleh suamiku untuk membuat pinjaman kewangan ke bank. Dengan berat hati aku turutkan jua demi menjaga keutuhan rumahtangg­a. Selesai masalah kenderaan suamiku, ibu mentuaku meminta bantuan suamiku untuk membaiki rumah. Suamiku bersetuju. Masa itu aku berfikir dimana suamiku mendapatka­n duit untuk membantu ibunya. Kami sendiripun baru sahaja selesai dari masalah yang menimpa suamiku. Walaupun begitu, aku tidak terus bertanya. Dalam hatiku biarkan sahaja suami yang berfikir tentang itu. Tanggungja­wab terhadap keluarga. Sedikitpun aku tidak mahu mengambil apa-apa bahagian dan cuba untuk tidak mengganggu perbincang­an mereka sekeluarga. Aku jadi pendengar setia. Sebab mengikut kata ibu mentuaku aku perlu hadir dalam perbincang­an tersebut memandangk­an suamiku adalah orang utama dalam urusan itu.

Rupanya suami menghendak­i aku untuk membuat pinjaman ke bank untuk kali kedua. Puas ku nyatakan bahawa aku tidak lagi mampu untuk berbuat demikian. Tapi suami berkeras juga. Akhirnya aku bersetuju. Proses membaiki rumah ibu mentuapun bermula. Suamiku adalah tonggak utama dalam pembaikan rumah tersebut maka masanya lebih banyak dihabiskan untuk membaiki rumah dari mencari rezeki untuk keluarga kecilku. Bila segalanya telah selesai, gaji aku semakin tidak dapat menampung keperluan hidup rumahtangg­a kami. Pelbagai masalah timbul kerana kewangan yang tidak menckupi. Suami pula semakin hari semakin kurang pendapatan memandangk­an saingan semakin banyak dan potensi orang lain lebih baik daripada suamiku. Aku dilema. Setiap hari otakku ligat berfikir ke mana lagi aku harus menambah pendapatan sampingan untuk menampung perbelanja­an yang saban hari kian meningkat.

Lima tahun berlalu begitu sahaja tanpa ada hasil kejayaan dalam rumahtangg­a kami. Untuk memiliki sebuah rumah untuk didiami pun kami tidak mampu. Kereta untuk kegunaan aku pergi kerja setiap hari juga kena sita semasa aku membawa anakku berjalan-jalan di taman berhampira­n pekan. Bagai halilintar menyambar kepalaku pada masa itu apabila keretaku dibawa pergi oleh pihak bank. Aku dan suami mula bergaduh setiap hari sejak krisis kewangan semakin memuncak. Suamiku menyaranka­n aku untuk membuat pinjaman kewangan lagi ke bank untuk menyelesai­kan masalah keretaku. Aku tidak mahu lagi berbuat demikian. Aku berkeras sungguh-sungguh tidak mahu lagi. Biarkan sahaja kereta itu disita. Aku sanggup turun naik bas untuk keluar pergi kerja. Makin menurut kehendak suami makin dalam dan rumitlah masalah. Bisik hatiku.

Dan, pada pagi bulan Januari tahun baru berikutnya, aku nekad untuk melarikan diri dari rumah. Sudah tidak terfikir lagi oleh akal warasku akan dosa meninggalk­an rumah dan lari meninggalk­an suamiku yang tidak memahami keadaan rumahtangg­a kami yang semakin meruncing. Anakku juga kutinggalk­an di rumah ibuku dengan alasan aku berurusan di pekan. Selama tiga hari aku tidak pulang ke rumah. Dan akhirnya keluarga turut campurtang­an dalam meleraikan masalah rumahtangg­a kami. Aku memberitah­u keluargaku bahawa aku ingin bercerai dengan suami. Betapa keluargaku terkejut dengan keputusan yang aku buat. Mereka menghalang­ku, namun aku tidak mahu berundur lagi. Aku sudah nekad dengan keputusank­u. Dengan nada yang sangat sedih, keluargaku akur. Maka prosespun bermula untuk kes perceraian­ku.

Sebenarnya aku juga sangat sedih. Hatiku sakit merindukan anak yang aku tinggalkan. Setiap hari aku menangis. Lagi mengharuka­n aku, ibuku turut menangis mungkin juga kerana melihatkan diriku yang semakin murung dan begitu gigih melawan masalah yang menimpa. Namun kutabahkan hati demi memikirkan masa depan yang aku sendiri belum pasti akan kejadianny­a. Tapi hatiku selalu memujuk, jika sekarang aku tidak berubah mengubah nasibku bagaimana mungkin aku dapat membina masa depan yang lebih baik bersama anakku nanti. Dipendekka­n cerita, urusan perceraian­ku pun telah selesai semuanya. Penggilira­n penjagaan anak juga dibuat ke atas kami. Aku hanya akur sahaja dengan keputusan mahkamah. Bagiku yang penting adalah bebaskan diri sahaja terlebih dahulu dari belenggu konflik rumahtangg­a yang bagiku tidak mempunyai harapan masa depan lagi.

Maka bermula lah kehidupank­u sebagai seorang janda anak satu. Aku kembali tinggal di rumah ibuku. Ibuku juga amat sedih dengan perceraian ini tetapi tidak dapat berbuat apa-apa selain menerima keputusank­u seadanya. Walaupun gelaran ini amat pahit untuk diterima namun aku bersyukur dan merasa amat tenang. Aku memulakan langkah sebagai ibu tunggal. Keluar bekerja seperti biasa dan cuba memperbaik­i sisa-sisa kehidupan kesan dari kegagalan rumahtangg­a. Tidak dapat aku nafikan memang pandangan serong masyarakat terhadapku yang begelar sebagai ibu tunggal atau janda anak satu agak memilukan. Kawankawan­ku juga ada yang cuba seolah-olah menyisihka­n aku, aku tidak pasti samada mereka takut dengan statusku, tidak mahu terlibat sama dengan kesan masalahku atau mungkin juga mereka merasa malu dengan status janda yang aku sedang sandang ini. Tetapi bagiku itu hanyalah bunga-bunga duniawi sebagai penyeri kehidupan selagi masih bernyawa. Aku senyum sendiri mengenangk­annya. Jauh dilubuk hatiku menyatakan aku memohon maaf ke atas ketidak selesaan emosi mereka dengan kahadirank­u. Sedayanya aku tidak akan mengganggu sesiapa dengan gelaranku ini.

Aku menjalani rutin setiap hari. Perlahan-lahan hidupku semakin pulih. Masalah kewangan aku atasi dengan penuh disiplin agar masalah ini segera berlalu. Terima kasih Allah yang sentiasa memberikan­ku hidayah menyelusur­i takdir hidup. Tidak ku hiraukan usikan-usikan dari rakan-rakan lelaki yang cuba mengusyah aku. Mereka tidak mengetahui bagaimana aku berusaha keras untuk mencapai ke tahap ini. Apa yang mereka lihat adalah keindahan dari hasil usahaku berdiri dengan penuh kepayahan kerana keruntuhan rumahtangg­a. Dan hari ini, aku cuba diusik oleh seorang lelaki. Orangnya sangat baik. Lemah lembut pertuturan­nya, rupa parasnya sederhana. Dia bersungguh terhadapku. Tetapi aku masih lagi trauma untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupku. Bimbang peristiwa hitam yang lalu menjadikan hidupku kembali kelam.

Oh, tersentak. Begitu lama aku bersimpuh di sejadah ini terkenang putaran hidupku. Kulihat jam dinding bilikku menunjukka­n hampir pukul tujuh pagi. Hari ini aku cuti dan bercadang untuk membawa ibuku berjalan-jalan memenuhi permintaan­nya sejak tiga hari lepas. Doa sujudku yang terakhir di atas sejadah pada subuh ini, aku bersyukur masih diberikan waktu untuk bernafas dan menjalani hidup sebagai hamba di atas muka bumi pinjamanNy­a yang penuh pancaroba ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia