Utusan Borneo (Sabah)

Pasar Sentral Sibu ditutup semula untuk kali kedua

-

SIBU: Pasar Sentral Sibu ditutup semula untuk kali kedua selepas kali pertama ditutup sementara dari 9 hingga 28 Februari lalu.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu mengambil keputusan itu kerana ia terletak di pusat bandar merupakan salah satu daripada tujuh zon COVID-19 diletakkan di bawah sekatan pergerakan khas mulai 16 hingga 26 April ini.

Bagaimanap­un, Majlis Perbandara­n Sibu (MPS) bercadang menutup Pasar Sentral Sibu untuk tempoh lebih singkat selama tujuh hari mulai 17 hingga 23 April ini.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Sentral Sibu, Yiing Chung Ming berpendapa­t penutupan atau sekatan itu perlu dilakukan secara menyeluruh untuk tempoh lebih lama di bandar ini, misalnya satu hingga dua bulan, berbanding hanya menutup satu kawasan tumpuan sahaja.

“Tidak perlu menutup bahagian tertentu sahaja, tetapi lebih baik menutup seluruh bandar selama antara satu dan dua bulan sehingga semua orang duduk di rumah.

“Dengan cara ini, kita dapat mengawal penularan COVID-19 dengan lebih efisien,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Beliau berpendapa­t, sekatan pergerakan khas yang dikenakan hanya di tujuh zon dengan jumlah kes tinggi dari tengah malam pada 16 hingga 26 April tidak banyak membantu mengekang COVID-19.

Tujuh zon tersebut adalah Sukun/Lada, Mantis, Poh Yew, Bukit Lima, Tong Sang, pusat bandar dan Tiong Hua.

“Sekiranya sekatan pergerakan menyeluruh tidak dapat dilakukan keadaan mungkin tidak bertambah baik seperti anda lihat, sudah hampir setahun wabak itu masih ada,” katanya.

Yiing berkata, walaupun mereka tidak memperoleh­i pendapatan jika tempoh penutupan Pasar Sentral Sibu lebih lama dikenakan, itu jauh lebih baik kerana mereka dapat melindungi keselamata­n mereka dan pengunjung.

“Tidak ada bisnes tidak apa. Janji keselamata­n kita dan pengunjung lebih terpelihar­a,” katanya.

Menurutnya, penjaja di Pasar Sentral Sibu jemu bahawa mereka harus melalui penutupan sekali lagi.

“Kami serik dengan pasar ditutup sekejap dan dibuka sekejap. Tiada apa yang kami boleh buat. Tiada apa kami lakukan,” jelas beliau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia