Utusan Borneo (Sabah)

SASAR 268,000 VAKSIN FASA KEDUA

Dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech bermula semalam hingga Ogos depan

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Fasa kedua Program Imunisasi COVID -19 Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah menyasarka­n seramai 268,000 penerima vaksin membabitka­n warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, penerima vaksin bagi fasa kedua ini akan mendapat suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNtech yang bermula semalam hingga Ogos depan.

Menurutnya, orang kelainan upaya (OKU) serta golongan berisiko tinggi yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit darah tinggi turut dikenal pasti sebagai penerima vaksin COVID19.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi meminta rakyat di negeri ini supaya mendaftar untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 fasa kedua ini khususnya mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Saya berharap kita semua tidak lalai dan leka kerana keadaan pandemik ini tidak stabil. Justeru rakyat yang layak menerima vaksin COVID19 diminta mendaftar untuk mendapatka­n suntikan percuma.

“Ini bagi menyokong usaha kerajaan mengekang penyebaran virus COVID19 dan membentuk imuniti kelompok. Selain itu, paling penting jaga prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

Hajiji berkata demikian sempena pelancaran Program Imunisasi COVID -19 Kebangsaan Fasa Dua Peringkat Negeri Sabah di sini semalam. Beliau diwakili oleh Menteri Pembanguna­n Masyarakat dan Kesejahter­aan Rakyat Shahelmey Yahya.

Dalam pada itu katanya, setakat 17 April lepas, seramai 426,934 orang atau kira-kira 14.60 peratus sudah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

“Bagi tempoh yang sama, seramai 50,780 orang sudah menerima suntikan dos pertama dan kedua, manakala 42,115 orang untuk dos kedua bagi fasa pertama di negeri ini.

“Sehingga kini, kerajaan negeri menyediaka­n sebanyak 212 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri.

“Dalam fasa pertama, pencapaian 100 peratus liputan pemberian imunisasi COVID-19 kepada 42,117 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM), bukan KKM dan kakitangan bukan kesihatan,” jelasnya.

Selain itu katanya, pemberian imunisasi turut diperluask­an kepada seramai 8,546 anggota perkhidmat­an perlu (Essential Services).

Beliau berkata, kerajaan menyediaka­n lima kaedah pendaftara­n secara dalam talian atau manual untuk orang ramai mendapatka­n suntikan vaksin COVID-19 di negara ini.

Selain menerusi aplikasi MySejahter­a, pendaftara­n penerimaan vaksin COVID-19 kini boleh dilakukan menerusi laman web rasmi Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID (JKJAV) di laman sesawang www.vaksincovi­d.gov. my, pendaftara­n di klinik dan hospital awam serta swasta, panggilan ke talian hotline 1800-888-828 dan pendaftara­n secara temu seru (outreach).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Setiausaha Persekutua­n Negeri Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi.

 ??  ?? PENERIMA VAKSIN: Shahelmey (tengah) yang mewakili Hajiji pada majlis itu bergambar bersama beberapa penerima vaksin COVID-19 bagi fasa kedua.
PENERIMA VAKSIN: Shahelmey (tengah) yang mewakili Hajiji pada majlis itu bergambar bersama beberapa penerima vaksin COVID-19 bagi fasa kedua.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia