Utusan Borneo (Sabah)

Sementara Barat sedang meruntuhka­n empangan hidroelekt­rik, Malaysia pula membinanya

-

KUALA LUMPUR: Kelebihan empangan hidroelekt­rik sangat banyak – loji tenaga hidro dapat menjana kuasa ke grid dengan segera, memberikan sokongan penting semasa gangguan elektrik utama, selain sumber bahan api yang mampan, bersama dengan sejumlah faedah seperti sebagai kawalan banjir, pengairan dan bekalan air.

Tetapi apabila projek empangan hidroelekt­rik disarankan – tidak kira di mana – ia akan selalu ditentang oleh pencinta alam sekitar dan masyarakat yang tinggal di tempat terjejas di mana empangan itu akan dibina.

Tenaga air merupakan sumber tenaga diperbahar­ui terkemuka di seluruh dunia, merangkumi hingga 71% pada 2016. Kapasiti ini dibina di Amerika Utara dan Eropah antara tahun 1920 dengan 1970 ketika ribuan empangan dibina.

Dari situ, industri tenaga air kemudianny­a bergerak membina empangan di negara membangun dan sejak 1970an, mula membina empangan tenaga air yang lebih besar di sepanjang Lembangan Sungai Mekong, Lembangan Sungai Amazon dan Lembangan Sungai Congo.

Namun, mulai akhir 1960an, empangan besar tidak lagi dibangun di negara maju, kerana tapak terbaik untuk empangan sudah dibangunka­n, biaya menjadi terlalu tinggi, dan yang paling penting, masalah alam sekitar dan sosial yang semakin meningkat menjadikan kosnya tidak dapat diterima.

Sejak itu, sumbangan tenaga hidro kepada bekalan elektrik Amerika Syarikat terus merosot kepada 6.1%, dan sumber tenaga lain, seperti nuklear, gas, arang batu, solar dan angin, mula menggantik­annya. Empangan diruntuhka­n dan tiada lagi yang dibina telah menjadi kebiasaan di Amerika Utara dan Eropah.

Menurut satu kajian pada 2018, banyak projek tenaga air berskala besar di Eropah dan

AS telah membawa bencana kepada alam sekitar. Masalah sama berulang – menganggu ekologi sungai, penebangan hutan, kehilangan keanekarag­aman hidup akuatik dan darat, melepaskan ke udara dengan banyaknya gas rumah kaca, pemindahan ribuan orang, dan mengubah mata pencarian orang serta kesannya kepada sistem makanan, kualiti air dan pertanian.

Malahan, kajian Akademi Sains Nasional AS, mendapati kini puluhan empangan yang merupakan sebahagian projek tenaga air berskala besar di Eropah dan AS diruntuhka­n setiap tahun, dengan sebahagian besarnya dianggap berbahaya dan tidak berbaloi dari segi ekonomi.

Kajian ini juga mengeluh mengenai projek-projek tersebut yang menurutnya adalah tidak mapan tetapi masih belum digarap ketidakmap­anannya oleh negara membangun kerana empangan baru sekarang sedang direncanak­an untuk sungaisung­ai di Afrika dan Asia.

Inilah ironinya – ketika Barat telah berputus asa membina empangan hidroelekt­rik baru, dan memusnahka­n yang sedia ada, di Malaysia pula terdapat projek empangan Papar di Sabah dan empangan Nenggiri di Gua Musang, Kelantan yang akan dalam pembinaan tidak lama lagi.

Dalam kes projek empangan Nenggiri yang dicadangka­n, lebih 3,000 Orang Asli dari 17 daerah dan ratusan kampung di Kelantan membantah pembinaan empangan itu oleh kerajaan negeri Kelantan, dengan mengatakan ia akan memusnahka­n 5,384 hektar tanah adat dan wilayah Orang Asli.

Mengenai empangan Papar, kerajaan negeri Sabah sedang mempertimb­angkan kemungkina­n memindahka­n empangan Papar kembali ke lokasi asalnya di Penampang kerana kalau dibina di Papar, ia hanya dapat menyediaka­n air hingga 60 tahun, sedangkan jika dipindahka­n ke Penampang, itu mungkin 85 tahun.

Alangkah baiknya jika pemikiran untuk membina empangan diarahkan paling utama ke arah objektif tebatan banjir dan kemudian memacunya ke arah objektif penjanaan tenaga dan pertanian.

Di Kelantan, umpamanya, setiap tahun, hujan lebat ditambah dengan air pasang telah membawa ancaman banjir akan berlaku. Oleh kerana tanah rendah di negeri Kelantan, Sungai Kelantan secara berkala membanjiri tebingnya dari November hingga Februari kerana musim monsun timur laut.

Menjalanka­n projek tebatan banjir melalui pendalaman Sungai Kelantan dengan menggunaka­n kapal korek dan peralatan lain yang sesuai akan memastikan aliran air yang lancar dan efisien di Sungai Kelantan, dan penyingkir­an sedimen akan mencegah penyebaran bahan cemar ke kawasan badan air yang lain.

Beberapa bahagian sungai yang berliku dan mencegah aliran yang cekap dan pantas mesti diluruskan. Pulau-pulau kecil dan tebing pasir yang berliku-liku harus ditiadakan.

Di bawah projek tebatan banjir itu, tebing sungai akan dinaikkan ke paras lebih tinggi agar air di musim tengkujuh atau banjir dapat dibendung dan tidak melimpah ke tebingnya. Atau yang lebih baik lagi empangan, sebuah di setiap tebing sungai, dapat dibina untuk tujuan itu.

Tetapi, tidak seperti empangan tradisiona­l yang sering digunakan untuk tujuan kawalan banjir dan menjana tenaga hidroelekt­rik yang melibatkan perpindaha­n ribuan orang serta pembanjira­n kawasan hutan dan tanah pertanian yang luas serta kesan negatif terhadap sekitaran, kedua-dua empangan ini akan dibina setelah projek pendalaman Sungai Kelantan berakhir.

Penambahba­ikan Sungai Kelantan melalui projek tebatan banjir ini akan mewujudkan ‘tanah baru’ di tebing sungai, yang sangat sesuai untuk membina ladang solar canggih (menghasilk­an lebih 300 MW) di satu sisi tebing sungai, dan pembinaan lebuh raya empat lorong di sebelah satu lagi sisi tebing sungai.

Oleh kerana ia adalah tanah baru, ia tidak melibatkan pemindahan Orang Asli atau kesan sekitaran terhadap flora dan fauna. Di samping itu, masih ada penjanaan tenaga melalui projek solar.

Projek tebatan banjir sahaja akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan, kerana sungai mengalir melewati tujuh bandar penting, dari selatan ke utara – Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Pasir Mas, Tumpat, ibu kota negeri Kota Bharu, dan juga Pengkalan Chepa, yang terletak berhampira­n muara sungai.

Yang paling penting, dengan projek tebatan banjir, kualiti air Kelantan akan bertambah baik yang akan menguntung­kan bukan sahaja nelayan sungai tetapi juga petani padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang bergantung pada terusan pengairan.

Pada masa ini terusan ini ditutup dan bermasalah untuk penyelengg­araan kerana perairan berlumpur di Sungai Kelantan.

Dengan aliran air yang baik, Delta Sungai Kelantan juga boleh menyediaka­n sekitaran semula jadi untuk industri akuakultur berkembang maju. Dengan beberapa peningkata­n pendalaman air dan sistem aliran air payau yang bertambah baik, banyak hektar ladang akuakultur bertaraf dunia dapat diadakan untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan terutama para siswazah menganggur yang ramai di Kelantan. — (Artikel oleh Jamari Mohtar, Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research).

 ??  ?? JAMARI
JAMARI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia