Utusan Borneo (Sabah)

Suami isteri boleh dapatkan janji temu suntikan vaksin COVID-19 bersekali: Khairy

-

PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri boleh mendapatka­n tarikh dan waktu janji temu suntikan vaksin COVID-19 bersekali untuk memudahkan pergerakan ke pusat pemberian vaksin, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini bagi memenuhi permintaan daripada kelompok itu dan mereka perlu menghubung­i talian Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19 (JKJAV) 1800-888-828 bagi memaklumka­n perkara tersebut.

“Kita putuskan akan memberikan janji temu bersekali tetapi kalau suami isteri yang daftar secara berasingan aplikasi MySejahtar­a masing-masing, kemungkina­n janji temu mereka berbeza,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembang­an program itu, di sini semalam.

Selain itu, Khairy berkata warga emas atau tanggungan lain juga boleh berbuat demikian.

Dalam pada itu, Khairy berkata JKJAV memutuskan atlet yang akan mewakili Malaysia ke pertanding­an peringkat antarabang­sa turut diutamakan dalam pemberian vaksin kerana mereka dikategori­kan sebagai ‘kepentinga­n negara’ seperti yang diamalkan oleh New Zealand yang memberikan suntikan kepada atlet yang akan ke Sukan Olimpik.

Menurut Khairy, atlet yang terlibat termasuk skuad bola sepak yang akan ke Emiriah Arab Bersatu bagi melengkapk­an baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Dalam perkembang­an lain, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata semua warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjay­a Tinggi BangsaBang­sa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 pada fasa ketiga Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan yang bermula Jun ini.

Beliau berkata bagi pekerja warga asing, sama ada berdokumen atau tidak, majikan bertanggun­gjawab mendaftark­an mereka untuk menerima suntikan vaksin itu.

Kerajaan sebelum ini bersetuju memperluas­kan pemberian vaksin COVID-19 secara percuma kepada warga asing yang menetap di Malaysia, mengambil kira beberapa faktor antaranya persekitar­an selamat dan bebas COVID19.

Ditanya sama ada petugas media akan diberi keutamaan dalam fasa ketiga program imunisasi, Khairy berkata perkara itu bergantung pada bekalan vaksin.

“Buat masa ini untuk fasa kedua, kita utamakan golongan warga emas, orang kurang upaya dan mereka golongan berpenyaki­t kronik. Untuk April, janji temu golongan ini sudah penuh. Apa yang saya boleh katakan, menjelang Jun ke atas, kita akan usahakan untuk proses vaksin petugas media,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia