Utusan Borneo (Sabah)

Fasa 2 program imunisasi COVID-19 bermula

-

KUALA LUMPUR: Fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bermula di beberapa negeri semalam, dan akan berlanjuta­n sehingga Ogos.

Fasa kedua program vaksinasi yang melibatkan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan Sinovac, memberi keutamaan kepada 9.4 juta penerima warga emas berusia 60 tahun ke atas, pesakit penyakit kronik dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Di Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datuk Dr Asmayani Khalib berkata, seramai 2,024 warga emas di negeri tersebut dijangka menerima suntikan vaksin semalam, dan sebanyak lima dewan di setiap daerah akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) iaitu di Kompleks Masyarakat Penyayang di daerah Timur Laut; Kompleks Sukan Balik Pulau (Barat Daya); Dewan Millennium di Kepala Batas (Seberang Perai Utara), Dewan Serbaguna Jawi (Seberang Perai Selatan) dan Seberang Perai Arena Convention Centre (Seberang Perai Tengah).

Seorang warga emas Ang Ah Hay @ Teng Foo Ying, 91, ketika ditemui Bernama berkata, beliau berasa lega setelah menerima suntikan tersebut, malah turut menyeru orang ramai terutamany­a warga emas untuk datang ke PPV terdekat bagi mendapatka­n vaksin.

“Saya rasa lega sebab sudah terima vaksin... orang tua (warga emas) yang lain kena datang (ambil suntikan vaksin) supaya tidak dijangkiti COVID-19,” katanya yang ditemani anak lelakinya Ong Chin Huat, 56, selepas selesai menerima suntikan tersebut.

Di Terengganu, majlis pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 2 peringkat negeri, telah dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pusat Sains dan Kreativiti Kuala Terengganu (PSKT).

Tiga PPV dibuka untuk permulaan fasa kedua, iaitu di PSKT untuk daerah Kuala Terengganu, Dewan Datuk Seri Amar Diraja (Kemaman) dan Dewan Serbaguna Sungai Tarom (Setiu).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata, bagi penduduk di daerah lain, mereka boleh mendapatka­n suntikan vaksin di klinik kesihatan sedia ada, dan pada masa sama bilangan PPV itu akan ditambah berdasarka­n keperluan semasa.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 250,399 rakyat Terengganu (29.7 peratus), telah berdaftar untuk mendapatka­n suntikan vaksin dalam MySejahter­a setakat 14 April lepas.

“Empat daerah telah menunjukka­n pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman seramai 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti Kuala Terengganu (59,713 orang iaitu 32.5 peratus), Marang (26,017 orang iaitu 32 peratus) dan Kuala Nerus (33,161 bersamaan 30.8 peratus),” katanya.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri itu Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata, seramai 456 warga emas menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech semalam, melibatkan dua PPV iaitu seramai 228 individu di PPV Dewan Majlis Bandaraya Seremban dan selebihnya di PPV Pejabat Daerah dan

Tanah Jempol.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankua­sa Keselamata­n dan Pengurusan Bencana Daerah Jempol Syahrul Nizam Saleh berkata, seramai 12,478 individu di daerah itu telah mendaftar untuk menerima suntikan pada fasa kedua, dan menjangkak­an angkanya akan terus bertambah berdasarka­n kelancaran program pada hari ini.

Di Kedah pula, seramai 1,577 orang terdiri daripada warga emas dan OKU bakal menerima vaksin dalam tempoh empat hari terawal yang bermula semalam di Stadium Tertutup, Sultan Abdul Halim di Alor Setar.

Menurut Pegawai Daerah Kota Setar merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman berkata, pihaknya juga turun padang ke kawasan kampung untuk menggalakk­an mereka mendaftar, termasuk membantu warga emas membuat pendaftara­n dengan kerjasama Jabatan Penerangan.

“Bagi pusat pemberian vaksin di stadium ini, segala persediaan rapi telah dibuat untuk proses pemberian vaksin pada fasa kedua yang bermula hari ini (semalam),” katanya yang turut memaklumka­n lebih 30 peratus penduduk Kota Setar berumur 18 tahun ke atas, telah pun mendaftar bagi menerima vaksin itu setakat ini.

Di Melaka, kira-kira 250,000 rakyat negeri itu dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas, golongan berisiko dan masyarakat Orang Asli, disasar menerima vaksin COVID-19 bagi fasa kedua dan negeri itu menyasarka­n 70 peratus daripada 701,000 rakyatnya, mendapat vaksin tersebut menjelang Disember 2021.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sebanyak 29 PPV akan dibuka secara berperingk­at, dengan tiga PPV telah dibuka serentak mulai semalam iaitu Dewan Tun Ali bagi penerima vaksin di daerah Melaka Tengah, Dewan Sebaguna Kompleks Sukan Masjid Tanah (Alor Gajah) dan Dewan Alamanda Jasin (Jasin).

“Kita juga akan menyediaka­n PPV Bergerak untuk memastikan golongan warga emas, OKU dan masyarakat Orang Asli, kerana golongan ini dilihat mempunyai beberapa kekangan untuk hadir ke PPV statik untuk mendapatka­n suntikan atas faktor logistik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas lawatan sempena Permulaan Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Negeri Melaka di Dewan Tun Ali di Bukit Katil, semalam.

Sementara di PAHANG, 360,000 orang dijangka terlibat dalam program vaksinasi fasa kedua di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebanyak lima PPV telah dibuka iaitu di Wisma Belia, Kuantan; Dewan Tun Razak, Temerloh; Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah di Kuala Lipis dan Kuala Rompin serta Dewan Majlis Perbandara­n Bentong.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menerima sebanyak 9,360 dos vaksin menerusi penghantar­an kelapan. Sebanyak 8,087 dos diagihkan ke kesemua lima PPV bagi janji temu ditetapkan bermula 19 April hingga 25 April,” katanya ketika melawat pusat vaksinasi di Wisma Belia, Kuantan, semalam. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? FASA KEDUA: Warga emas beratur untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Seberang Perai Arena Convention Centre Butterwort­h, semalam.
— Gambar Bernama FASA KEDUA: Warga emas beratur untuk mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Seberang Perai Arena Convention Centre Butterwort­h, semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? SELSESAI: Warga emas Teng Kon Ian, 89, bergambar kenangan selepas mendapat suntikan vaksin COVID19 di Seberang Perai Arena Convention Centre, semalam.
— Gambar Bernama SELSESAI: Warga emas Teng Kon Ian, 89, bergambar kenangan selepas mendapat suntikan vaksin COVID19 di Seberang Perai Arena Convention Centre, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia