Utusan Borneo (Sabah)

PKP di Mukim Endau dan Mukim Triang di Mersing, Johor mulai hari ini hingga 3 Mei

-

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanak­an di Mukim Endau dan Mukim Triang di Mersing, Johor bermula hari ini hingga 3 Mei.

Menteri Kanan (Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaa­n PKP di dua mukim itu berikutan masih terdapat kes baharu Kluster Kampung Air Batang dikesan di kedua-dua lokaliti terbabit walaupun telah melebihi dua tempoh inkubasi (28 hari) serta mengelak penularan kes ke lokaliti lain.

“Sehingga kini, Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 437 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 69 kes positif COVID-19 direkodkan, manakala 29 lagi sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengumumka­n penamatan PKP Diperketat­kan (PKPD) di Kampung Murni C, Nabawan di Sabah seperti yang dijadualka­n hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko COVID19, selain KKM mengesahka­n berlaku penurunan dan kluster adalah terkawal dengan kes terakhir direkodkan pada 13 April lepas.

Mengenai pasukan petugas operasi pematuhan, beliau berkata 196 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) semalam, dengan 191 daripadany­a dikompaun manakala lima lagi direman.

Kesalahan tiada penjarakan fizikal mencatat jumlah kes tertinggi melibatkan 119 individu, diikuti tidak memakai pelitup muka (21), gagal merekod butiran diri/ daftar masuk premis (15), aktiviti pusat hiburan (13) dan lain-lain (28).

Menerusi Operasi Benteng semalam, Ismail Sabri berkata 31 pendatang tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas serta dua pendatang tanpa izin turut diusir. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia