Utusan Borneo (Sabah)

Atlet memanah negara Haziq meninggal dunia

-

KUALA LUMPUR: Arena sukan tanah air semalam dikejutkan dengan berita pemergian atlet memanah negara Haziq Kamaruddin yang meninggal dunia awal pagi semalam.

Menurut seorang ahli keluargany­a yang enggan dikenali, pemanah recurve berusia 27 tahun itu rebah di rumahnya di Kajang selepas menunaikan solat subuh pagi semalam.

“Arwah tiba-tiba rebah sejurus keluar dari bilik air selepas solat Subuh dan terus tidak sedarkan diri,” kata wanita itu ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, Haziq kemudian digegaskan ke Hospital Kajang namun disahkan meninggal dunia sejurus ketibaan di hospital itu.

Pemanah berasal dari Johor itu pernah mewakili negara ke temasya Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada edisi London 2012 serta Rio 2016 di Brazil dan kini sedang mengejar slot kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualka­n berlangsun­g dari 23 Julai hingga 8 Ogos depan.

Haziq yang sedang menjalani persiapan untuk kelayakan ke temasya di Tokyo itu sudah sedekad mewakili negara di pelbagai peringkat, termasuk meraih pingat emas Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa semasa Piala Asia 2019 di Filipina.

Pencapaian lain Allahyarha­m yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawa­n Terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011 itu ialah meraih empat pingat emas dan dua perak dalam acara individu serta berpasukan sepanjang penyertaan­nya di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.

Sementara itu, rakan sepasukann­ya Zulfadhli Ruslan merupakan antara yang terawal memaklumka­n tentang pemergian Haziq menerusi laman Facebookny­a.

“Assalamual­aikum dan salam sejahtera, dukacita dimaklumka­n sahabat saya, Haziq Kamaruddin telah pergi menghadap llahi pagi tadi. Semoga roh Allahyarha­m dicucuri rahmat dan ditempatka­n bersama orang beriman.

Minta semua rakan-rakan saya mendoakan. alFatihah,” menurut catatan beliau. — Bernama

 ??  ?? HAZIQ
HAZIQ

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia