Lampu jalan uzur perlu diselenggara, dinaik taraf
LIMBANG: Lampu-lampu jalan di bawah persekutuan dan negeri di sini perlu diselenggarakan dan dinaik taraf kerana sudah usang selain mengundang kemalangan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, semua agensi termasuk Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Limbang (MDL) yang mempunyai kepentingan ke atas lampu jalan diharap menambah lampu itu selain menyelenggara atau menggantikan yang sudah usang.
Jelasnya, keadaan lampu jalan yang agak uzur menyebabkan sesetengah kawasan gelap khususnya di Jalan Pandaruan, Batu Danau dan sekitarnya.
“Memang betul akibat lampu jalan sudah uzur menyebabkan keadaan terlalu gelap terutama pada waktu malam dan boleh mengundang kemalangan.
“Mana-mana agensi mempunyai aset ke atas lampu jalan itu sama ada jalan persekutuan dan negeri harus menambah baik pencahayaan jalan-jalan terbabit,” katanya di sini semalam.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata kerja-kerja menyelenggara dan menambah lampu jalan sememangnya memerlukan peruntukan besar.
“Perkara ini kita kena lihat dan rancang dari setahun ke setahun sama ada pemasangan baharu atau membaiki lampu sedia ada,” jelasnya.
Menurutnya, SEB memang terlibat dengan penyelenggaraan lampu jalan dam semua itu perlu dibuat dan ditambah.
Rungutan mengenai keadaan lampu jalan uzur, tidak terang kerap disuarakan pengguna jalan melalui jalan utama itu.
Menurut mereka keadaan lampu jalan uzur itu menyebabkan berlaku kemalangan selain dilindungi pokok.
“Keadaan lampu jalan sepanjang Jalan Pandaruan sudah tidak terang agak bahaya terutama kepada mereka tidak biasa menggunakannya.
“Justeru, saya berharap kerajaan dapat meningkatkan ciri-ciri keselamatan di jalan terbabit termasuk menaik taraf lampu jalan itu,” kata mereka.
Kerja menaik taraf lampu jalan itu bukan sahaja bakal menyediakan kemudahan kepada penduduk, tetapi menjaga keselamatan dan mengekang aktiviti jenayah.