Serangan ganas rejim Israel di Gaza ragut 100 nyawa, 580 cedera
RIYADH: Umat Islam di seluruh dunia meraikan Aidilfitri dalam suasana suram kelmarin ketika pergolakan semakin meningkat antara rejim Israel dengan Palestin, dalam sambutan kedua yang diselubungi pandemik COVID-19.
Perayaan tiga hari itu, menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan, secara tradisional disambut dengan sembahyang di masjid, jamuan keluarga serta membeli pakaian baharu, hadiah dan manisan.
Menyuramkan lagi perayaan tersebut, yang sudah pun kurang meriah akibat penularan pandemik, adalah pergolakan berdarah antara Israel dan Palestin, dengan ketakutan timbul bahawa ia boleh meledak menjadi konflik besar.
Ketegangan meningkat dengan rancangan Israel menghalau warga Palestin dari kawasan timur Baitulmuqaddis, yang rejim Yahudi lihat sebagai sebahagian daripada ibu kotanya tetapi dianggap sebagai ditakluki oleh Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).
Israel kelmarin berusaha mematahkan rusuhan antara penduduk Arab dan Yahudi di tanah mereka sendiri beberapa hari selepas berbalas serangan maut dengan pejuang Palestin di Gaza.
Di Gaza, seramai 100 orang terkorban setakat ini termasuk 27 kanak-kanak, dan lebih 580 cedera ekoran beberapa hari serangan udara bertalu-talu dari Israel di daerah pesisiran yang padat.
Mewakili suara kebanyakan umat Islam, Raja Salman dari Arab Saudi mengkritik keras Israel dalam panggilan telefon semalam kepada Perdana Menteri Pakistan Imran Khan di ambang Aidilfitri.
Rajatersebut“menekankan cemuhan Arab Saudi terhadap tindakan warga Israel di Baitulmuqaddis dan keganasan yang dilakukan rejim Israel, serta menegaskan bahawa negara itu menyebelahi warga Palestin,” menurut laporan rasmi Agensi Media Saudi.
Manakala di Afganistan, gencatan senjata tiga hari Aidilfitri yang dipersetujui oleh puak Taliban dengan kerajaan telah dilaksanakan, memberi sinar harapan kepada warga Afghan selepas berminggu-minggu diselubungi keganasan maut.
Pergolakan semakin membara sejak Amerika Syarikat tidak mematuhi tarikh akhir 1 Mei, dipersetujui dengan Taliban tahun lalu untuk mengundurkan kesemua pasukan tenteranya.
“Saya berasa lega dan aman hari ini kerana ia hari Aidilfitri dan tiada permusuhan,” kata Mirajuddin, yang melawat zoo Kabul bersama dengan lima anaknya, semua berpakaian serba baharu.
Di Iran, yang telah memulakan sambutan pada awal minggu ini, pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei sempena sambutan Aidiliftri memberi pengampunan dan meringankan hukuman penjara lebih 2,000 banduan yang disabit kesalahan, menurut laman sesawangnya.
Di Maghribi, perintah berkurung semalaman telah dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19 yang menyaksikan solat terakhir Ramadan ditegah bagi mengelak kesesakan orang ramai.
Selain itu, kunjungan keluarga tidak dibenarkan dan masjid ditutup di Tunisia dalam perintah berkurung seminggu yang bermula pada Ahad.
Namun tragedi menimpa Bangladesh, menyaksikan lima mangsa terkorban semalam dalam nahas feri terlebih muatan yang membawa lebih 1,000 penumpang.
Negara-negara Asia Selatan pula berhadapan dengan bahaya apabila orang ramai berpusu-pusu beberapa hari ini serta mengingkari arahan berkurung telah pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri. — AFP