Insiden rusuhan Parit Raja: 20 individu ditahan setakat ini
PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menumpaskan cubaan pengedar dadah untuk menyeludup dadah ke negara jiran pada malam raya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, dua cubaan menyeludup dadah ke negara jiran ditumpaskan di Melaka dan Muar, Johor Rabu lepas.
“Pengedar dadah ini sentiasa mencari peluang, di Melaka pihak JSJN menangkap dua lelaki yang datang dari Johor cuba menyeludup dadah jenis syabu seberat 100.4 kilogram manakala di Muar PPM berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 84 kilogram syabu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan ke sekatan jalan raya (SJR) di sini kelmarin, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, anggota PDRM terus menggalas tanggungjawab dengan penuh kecekalan walaupun sudah 422 hari menjalankan tugasan sepanjang pandemik COVID19 melanda negara, dalam memastikan rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Momentum dan semangat dalam kalangan anggota polis masih pada tahap sama, namun perlu diingatkan mereka yang bertugas harus menjaga kesihatan, dari segi penugasan itu perlu ada waktu rehatnya, itu yang penting,” katanya.
Beliau juga menyarankan masyarakat agar terus mematuhi SOP untuk bersamasama memerangi penularan COVID-19 dan saranan kerajaan adalah untuk kesejahteraan, kesihatan dan ekonomi.
Sementara itu, beliau berkata lawatan beliau kelmarin bertujuan memberi semangat kepada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas di SJR terutama pada hari pertama Syawal.
Beliau berkata, empat SJR di sekitar Putrajaya mencukupi kerana penduduk di pusat pentadbiran ini mempunyai tahap pematuhan yang tinggi kerana kebanyakan mereka adalah penjawat awam yang jelas dengan pendekatan kerajaan dalam membendung wabak COVID-19.
Setakat jam 12 tengah malam kelmarin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya telah memeriksa 1,168 individu dan 1,020 kenderaan serta sebanyak 30 kereta diarah berpatah balik kerana tiada surat kebenaran rentas daerah. — Bernama
JOHOR BAHRU: Seramai 20 individu telah ditahan polis setakat ini kerana dipercayai terbabit dalam kejadian merusuh di Parit Raja, Batu Pahat, yang tular dalam laman sosial kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata, kesemua lelaki yang ditahan merupakan penduduk setempat, berumur 16 hingga 28 tahun.
“Berdasarkan semakan semuanya tiada rekod jenayah dan kini ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 2 pagi kelmarin di persimpangan Pekan Parit Raja di Kilometer 22.5 Jalan Batu Pahat-Kluang.
“Kumpulan tersebut yang dianggarkan seramai 40 orang telah membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka, selain merentang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun.
“Kain rentang yang sama juga telah dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan sejurus selepas kejadian,” katanya.
Ismail turut memberitahu siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 144, 269 dan 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 8 Akta Bahan Letupan; Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
Malam kelmarin, polis memberitahu sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun untuk membantu siasatan, setelah mendapat makluman daripada orang awam mengenai penemuan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ di sebuah jejantas kelmarin, selain sebuah video menunjukkan perhimpunan, pembakaran suar dan kejadian menaikkan kain rentang tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. — Bernama