Utusan Borneo (Sabah)

Yayasan Petronas edar bantuan makanan kepada 300 keluarga sempena Aidilfitri

-

MELAKA:

Yayasan Petronas bersama Petronas Wilayah Selatan mengedarka­n bantuan makanan dan kit penjagaan kebersihan diri kepada 300 keluarga bernilai RM45,000 di bawah Program Sentuhan Kasih Aidilfitri 2021 barubaru ini.

Menurut Yayasan Petronas dalam satu kenyataan, bantuan yang diagihkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka itu antaranya terdiri daripada beras, beras pulut, minyak masak, gula, garam, sardin, telur, susu pekat, kuih raya serta kit penjagaan kebersihan diri.

“Bantuan berkenaan diedarkan kepada keluarga kurang bernasib baik termasuk ibu bapa tunggal dan komuniti kurang upaya yang dikenal pasti JKM.

“Bantuan makanan dan kit penjagaan kebersihan diri itu diagihkan kepada 150 keluarga di Melaka Tengah serta di Alor Gajah dan penyerahan­nya dilakukan menerusi JKM daerah terlibat,” menurut kenyataan itu.

Program Sentuhan Kasih adalah sebahagian daripada bidang tumpuan kesejahter­aan dan pembanguna­n masyarakat Yayasan Petronas dan sejajar dengan Agenda Kelestaria­n Petronas dan Matlamat Pembanguna­n Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiap tahun, bersempena dengan perayaan besar di Malaysia, Yayasan Petronas mengedarka­n barangan keperluan untuk menambah baik kesejahter­aan masyarakat.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata sumbangan berkenaan diharap memberi sinar kepada penerima serta mengurangk­an beban mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengingatk­an semua untuk terus mematuhi prosedur operasi standars yang ditetapkan bagi memerangi wabak COVID19,” katanya.

Penerima bantuan, Jemilah Said, 75, dari Bukit Beruang di sini berkata beliau yang menyara dua cucu jarang membuat persiapan bagi menyambut hari raya.

“Baju raya pun selalu orang bagi...kalau ada rezeki tu adalah. Terima kasih Petronas atas bantuan yang diberikan,” katanya yang telah 30 tahun mengutip botol dan kotak terpakai untuk menyara diri dan dua cucunya.

Seorang lagi penerima bantuan Yan Salleh, 51, turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diterima.

“Syukur dengan bantuan yang diterima. Aidilfitri ini dapatlah anak-anak merasa kuih raya tahun ini,” kata bapa anak kepada empat anak yang bekerja sebagai tukang kebun.

Sementara itu di SEREMBAN, sumbangan yang sama turut diserahkan kepada 350 keluarga kurang bernasib baik di negeri ini melalui JKM berjumlah RM52,500.

Sumbangan simbolik diserahkan oleh Undang Luak Johol Datuk Muhammed Abdullah kepada 10 penerima di Balai Rasmi Undang Luak Johol baru-baru ini.

Selebihnya, bantuan bekalan makanan dan kit penjagaan kebersihan diri itu akan diedarkan kepada 200 keluarga di Seremban dan 140 keluarga di Kuala Pilah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia