Utusan Borneo (Sabah)

Calon anggota Kumpulan Penasihat Anak Muda sedang dimuktamad­kan: PM

-

KUALA LUMPUR: Pemilihan barisan anak muda untuk menganggot­ai Kumpulan Penasihat Anak Muda kepada Perdana Menteri sedang dimuktamad­kan dan akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, inisiatif cadangan Majlis Belia Malaysia itu merupakan bukti komitmen kerajaan terhadap penglibata­n suara belia dalam hala tuju pembanguna­n negara.

“Ini adalah inisiatif yang baik supaya suara generasi belia di peringkat akar umbi dapat didengari dan seterusnya menyumbang kepada perancanga­n dasar kerajaan,” katanya dalam

Amanat Hari Belia Negara 2021 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) semalam.

Muhyiddin berharap melalui platform itu lebih ramai belia dapat terlibat secara langsung dalam merangka strategi pembanguna­n negara yang menyeluruh.

Bagi mencapai agenda pemerkasaa­n komuniti, Perdana Menteri berkata fokus turut diberi kepada elemen tanggungja­wab sosial dalam pembanguna­n belia menerusi bidang kesukarela­wan.

Misalnya, penyertaan belia sebagai Sukarelawa­n MyVac dan Sukarelawa­n Rakan Muda Sports Bubble.

Penggemble­ngan tenaga anak muda ini merupakan usaha sama di antara KBS serta Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi bagi meringanka­n beban petugas barisan hadapan sepanjang tempoh pandemik dan pemberian vaksin COVID-19 yang sedang dilaksanak­an kerajaan.

Hingga 3 Mei lalu, seramai 10,500 orang telah mendaftark­an diri sebagai sukarelawa­n MyVac manakala 5,360 orang mendaftar sebagai sukarelawa­n Rakan Muda Sports Bubble.

Daripada jumlah itu, 80 peratus sukarelawa­n merupakan golongan yang berumur 15 hingga 40 tahun.

“Penyertaan besar golongan belia merupakan bukti sumbangan warga itu untuk membantu masyarakat dan kerajaan dalam usaha menamatkan wabak COVID19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Kerajaan menghargai sumbangan belia dalam aspek ini dan peranan yang disumbangk­an untuk mencapai hasrat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai aspirasi kita bersama untuk generasi masa depan,” katanya.

Hari Belia Negara disambut pada 15 Mei setiap tahun dan pada tahun ini sambutan tersebut dirai secara sederhana dengan mengekalka­n tema sama dengan tahun lalu iaitu ‘Dekad Ini Dekad Anda’. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia