Utusan Borneo (Sabah)

Mahathir: Tindakan bersepadu negara Islam boleh selesai konflik Arab-Israel

Penggunaan teknologi digital meningkat ketika pandemik COVID-19

-

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed berkata satu penyelesai­an boleh dicapai untuk konflik Arab-Israel melalui tindakan bersama oleh negara-negara Islam dan mereka yang menyokong hak dan perjuangan rakyat Palestin.

Adalah penting bagi mereka yang menyokong rakyat Palestin untuk mempunyai strategi yang betul untuk mencapai penyelesai­an itu, katanya dalam ucapan awam secara langsung melalui laman Facebookny­a yang menarik perhatian pengguna Facebook di seluruh dunia.

“Berjuang semata-mata demi perjuangan atau hanya membalas dendam tidak akan membawa sebarang hasil,” katanya dalam ucapan berjudul ‘Seruan Untuk Kemanusiaa­n dan Ummah Mengenai Isu Palestin dan Mengecam Kezaliman Israel’.

Dr Mahathir juga menzahirka­n harapan agar dunia Arab dan rakyat Palestin duduk berbincang dan memikirkan strategi sesuai untuk berdepan dengan rejim Zionis itu.

“Saya harap dunia Islam bangkit kepada situasi semasa. Saya harap kita semua akan menderita sedikit terhadap aktiviti keganasan Israel terhadap rakyat Palestin dan menentang kemanusiaa­n,” katanya.

Dr Mahathir berkata, adalah penting untuk mendapatka­n pengiktira­fan diplomatik dan meneroka alam diplomasi bagi menjelaska­n kebenaran dalam perjuangan bahawa mangsa adalah rakyat Palestin dan bukan sebaliknya.

Katanya dunia seolaholah berfikir bahawa ia adalah rakyat Palestin yang menimbulka­n provokasi terhadap Israel tetapi rejim Zionis mengambil keputusan untuk menceroboh dan menyerang ketika jemaah Palestin sedang menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

“Orang yang bersolat bukan bahaya kepada sesiapa,” katanya. — Bernama

PUTRAJAYA: Tinjauan pendapat umum berkaitan kesan COVID-19 terhadap institusi keluarga pada tahun lepas hingga 2021 mendapati penggunaan teknologi digital semakin meningkat pada zaman pandemik COVID-19, kata Lembaga Penduduk dan Pembanguna­n Keluarga Negara (LPPKN).

Menurut kenyataan LPPKN semalam, tinjauan itu turut mendapati lebih separuh daripada responden menyatakan bahawa penggunaan teknologi digital semasa bekerja dari rumah telah meningkatk­an tahap produktivi­ti kerja mereka.

Majoriti ibu bapa pula bersetuju akan pentingnya pembelajar­an anak-anak secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah membantu mereka memastikan proses pembelajar­an anak-anak dapat diteruskan, kata agensi tersebut.

Menurut LPPKN, hasil dapatan itu adalah selari dengan tema sambutan Hari Keluarga Antarabang­sa 2021 iaitu ‘Keluarga dan Teknologi Baharu’ yang dipilih Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Bersempena sambutan Hari Keluarga Antarabang­sa tahun ini, ibu bapa disaran berusaha meningkatk­an kemahiran penggunaan teknologi khususnya aplikasi digital bagi membimbing anak-anak menggunaka­n teknologi secara berhemah dan berfaedah tanpa mengasingk­an nilai dalam sesebuah keluarga serta masyarakat,” kata LPPKN.

LPPKN dalam pada itu berkata, program rintis pendidikan keibubapaa­n menerusi aplikasi WhatsApp telah diperkenal­kan khusus kepada golongan keluarga berpendapa­tan rendah di komuniti Projek Perumahan Rakyat hasil kerjasama LPPKN, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan Universiti Putra Malaysia.

Bagi kumpulan sasar di luar bandar, LPPKN dengan kerjasama agensi Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar serta Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia sedang mengadakan siri kursus keibubapaa­n dalam talian bagi memberi peluang ibu bapa di luar bandar mendapat pendidikan kekeluarga­an menerusi kemudahan Pusat Internet Komuniti di seluruh negara, katanya.

LPPKN berkata, inisiatif tersebut berkait rapat dengan penggunaan teknologi baharu khususnya teknologi digital bagi memastikan pembanguna­n masyarakat yang menyeluruh bermula dengan institusi keluarga. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia