Utusan Borneo (Sabah)

Kru warga asing dari India tidak dibenar turun di pelabuhan Malaysia

-

PUTRAJAYA: Semua kru kapal warga asing dari pelabuhan India yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tidak dibenarkan ‘sign off’ atau turun dari kapal sepanjang tempoh pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Menteri Pengangkut­an Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pengecuali­an hanya diberikan kepada warganegar­a Malaysia yang wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditentukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementeria­n Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, Kementeria­n Pengangkut­an (MOT) mengambil maklum keprihatin­an orang ramai berhubung SOP bagi aktiviti perkapalan di pelabuhan.

Wee berkata pada 26 April, beliau mempengeru­sikan persidanga­n televideo bersama Jabatan Laut (JLM) dan pelbagai pihak berkuasa pelabuhan di bawah MOT untuk menyampaik­an strategi Majlis Keselamata­n Negara (MKN) bagi mencegah wabak varian yang berasal dari India daripada memasuki Malaysia, yang dikuatkuas­akan mulai 28 April lalu.

“JLM juga akan saling berkomunik­asi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di Malaysia. Mereka akan saling bekerjasam­a berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, larangan beroperasi dan lain-lain aktiviti,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Wee berkata, SOP yang ditetapkan oleh KKM dan MKN bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di pelabuhan seluruh negara juga adalah termasuk kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala COVID-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentas­i Deklarasi Kesihatan Maritim oleh pihak KKM.

Katanya, semua pekerja di dermaga perlu menggunaka­n peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan oleh KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.

Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga adalah tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM.

Selain itu, semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja pengikat tali dan pemunggah kargo) tanpa sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.

Setiap pengemudi kapal yang menjalanka­n operasi atau merapat ke dermaga dikehendak­i mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KKM termasuk memakai PPE dan pelitup muka.

Wee berkata, pengendali­an kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan bersandark­an kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran oleh JLM termasuk pihak berkuasa di pelabuhan yang berkenaan.

Wee berkata, MOT akan terus memastikan segala SOP pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatka­n lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.

“Kami juga komited melakukan penambahba­ikan dalam misi MOT untuk memelihara keselamata­n serta kelestaria­n di sektor pengangkut­an dan logistik negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia