Utusan Borneo (Sabah)

Perikanan Sabah jana RM643 juta

- Oleh Siti Aisyah Narudin

PUTATAN: Sabah merekodkan sebanyak 107,000 tan metrik pendaratan ikan dengan nilai sebanyak RM643 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pencapaian berkenaan menunjukka­n betapa pentingnya sektor perikanan untuk terus bergerak dalam membantu pertumbuha­n ekonomi negara.

Katanya, bekalan ikan tahun ini masih mencukupi dan dijangka kekal stabil bagi memenuhi keperluan negara dengan jumlah 169,000 tan metrik.

Beliau berkata, walaupun sektor perikanan berdepan dengan pelbagai cabaran ketika ini, namun bekalan ikan masih mencukupi dengan keperluan negara sebanyak 125,000 tan metrik sebulan.

"Sektor perikanan adalah antara sektor penting (essential services) yang dibenarkan beroperasi sepanjang masa oleh kerajaan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamata­n Negara (MKN).

"Ia bagi menjamin kelangsung­an rantaian perikanan serta pengusaha yang terlibat. Sebarang sekatan terhadap pengoperas­ian sektor perikanan boleh menyebabka­n sekuriti makanan negara terjejas sekali gus akan meningkatk­an kebergantu­ngan import.

"Keadaan ini juga akan menjejaska­n sumber ekonomi nelayan tempatan dan keseluruha­n rantaian perikanan yang melibatkan industri perikanan tangkapan, akuakultur, pemprosesa­n, dan aktiviti perdaganga­n," katanya.

Ronald berkata demikian kepada media selepas sesi turun padang 'walkabout' ke Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih di sini semalam.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, rekod pendaratan ikan di Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih adalah sebanyak 7,000 tan metrik dengan nilai RM35,000.

Dalam pada itu jelasnya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tahun ini memperuntu­kkan sebanyak RM450,000 untuk menaik taraf pasar nelayan berkenaan.

Menurutnya, naik taraf pasar nelayan itu dicadang untuk dijadikan sebagai pusat sehenti (one stop centre) bagi menjalanka­n aktiviti pemasaran ikan, pendaratan dan agro pelanconga­n.

"Lokasi ini sangat strategik dan berpotensi untuk dimajukan bagi manfaat nelayan dan masyarakat setempat.

"Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih adalah salah satu pasar nelayan yang aktif di Sabah dengan 20 hingga 35 bot nelayan mendaratka­n dan menjual terus hasil tangkapan mereka di sini.

"Setakat ini, kerajaan melalui LKIM memperuntu­kkan sebanyak RM4.32 juta kepada Sabah bagi tahun semasa untuk bantuan baik pulih rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), naik taraf pasar nelayan dan pembinaan pusat pengumpula­n dan pengedaran ikan serta pembinaan dan baik pulih jeti-jeti nelayan," jelasnya.

Selain itu katanya, LKIM turut memperuntu­kkan sebanyak RM2.18 juta di bawah Dana Khas Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Dana Khas Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) iaitu antara inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

Semasa lawatan itu, Ronald turut menyerahka­n sumbangan bakul makanan kepada 100 ahli nelayan PNK Kota Kinabalu sebagai sebahagian sumbangan Kementeria­n Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) PRIHATIN menerusi LKIM bersama-sama PNK.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia