Empat agenda utama belia Tongod
Bagi pembangunan golongan belia untuk tempoh lima tahun akan datang
TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut Datuk Masiung Banah menggariskan empat perkara utama bagi membangunkan golongan belia di daerah Tongod untuk tempoh lima tahun akan datang.
Empat perkara yang digariskan wakil Bebas itu termasuklah memperkasa belia dalam institusi kepimpinan, ekonomi, pendidikan dan melahirkan modal insan yang mampu mencipta inovasi tinggi.
Katanya, pemimpin belia hendaklah diperkasa dalam kepimpinan sosial dan ekonomi tanpa perlu bergantung semata-mata dengan bantuan kerajaan.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) Sabah merasmikan majlis Penyerahan Bantuan Khas Pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penangah di sini kelmarin.
Majlis itu dianjurkan oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia yang dipengerusikan oleh Kasrun Mahalil dengan kerjasama Persatuan Belia Daerah Tongod (PBDT) dan
Persatuan Belia Wawasan Tongod (PBWT).
Pegawai Daerah Tongod Fauzi Nurbeh dan Pengetua SM Penangah Ganit Sanai turut hadir pada majlis itu bersama pengerusi PBDT Willy Frous Darinsok dan Pengerusi PBWT Elvenson Henly Jumali.
Sehari sebelum itu, Masiung menyampaikan bantuan khas kepada pelajar Tingkatan 6 di SMK Entilibon.
Sebanyak 86 pelajar yang bakal memasuki Tingkatan 6 menerima bantuan tunai masing-masing 61 orang dari SMK Penangah dan 25 pelajar dari SMK Entilibon.
Menurutnya, generasi muda tidak hanya bijak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan lebih dari itu mereka perlu mempunyai kemahiran yang tinggi untuk mencipta peluang ekonomi yang disediakan oleh kerajaan.
“Kunci segala kejayaan, belia perlu berpaksi kepada pendidikan yang tinggi dalam pelbagai bidang ilmu sekali gus inovasi baharu dapat dicipta,” katanya.
Masiung meletakkan harapan pemimpin persatuan belia di daerah Tongod mampu mengakses inovasi yang hebat setanding kejayaan pemimpin muda di peringkat negeri dan nasional.
Katanya, ramai golongan belia remaja di daerah itu berbakat besar dalam pelbagai bidang kerjaya termasuk bidang politik, ekonomi, pentadbiran dan sukan yang boleh diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Tapi sayangnya, bakat mereka kurang menyerlah ekoran kekangan ekonomi keluarga dan masalah ini boleh diatasi menerusi kesedaran moden warga belia,” jelasnya.
Beliau berkata, fokus utama beliau kini lebih tertumpu kepada usaha untuk mengatasi masalah capaian Internet di Tongod dengan mewujudkan lebih banyak menara dan menaik taraf menara yang sedia ada di daerah pedalaman itu.
Menurutnya, terdapat banyak sekolah yang terletak jauh dari bandar tidak mempunyi talian Internet menyebabkan modul pendidikan tidak dapat diakses.