Yayasan Waqaf Malaysia salur peruntukan RM34,200 di Melaka
MELAKA: Yayasan Waqaf Malaysia ( YWM) menyalurkan peruntukan RM34,200 menerusi Program Dana Perlu dan Dana Pelajar YWM bagi membantu murid di tiga sekolah kebangsaan sekitar sini di samping menyediakan pek sumbangan makanan kepada orang ramai semalam.
YWM dalam satu kenyataan berkata, RM21,700 diperuntukkan untuk menyumbang 30 tablet kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taman BukitRambai, SKBukitRambaiserta SK Kampung Gelam, di samping satu unit buat sebuah keluarga yang memerlukan, manakala RM12,500 lagi diperuntukkan bagi tujuan penyediaan pek sumbangan makanan keperluan untuk 250 penerima.
Menurutnya tablet yang diserahkan kepada sekolah berkenaan akan dipinjamkan kepada murid yang mengalami kesukaran menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), yang dikenal pasti oleh pihak sekolah.
“Kesemua penerima sumbangan merupakan golongan terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 yang terdiri daripada pekerja hotel, pengayuh beca, pekerja taska daripada 22 taska di Melaka, petugas sokongan institusi pendidikan dan murid sekolah rendah dari kalangan keluarga B40,” menurut kenyataan itu.
Sumbangan itu diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad AlBakri, dan majlis penyerahan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YWM Prof Madya Dr Amir Shaharuddin serta Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim.
Sementara itu, YWM berkata orang ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada penyumbang Program Dana Pelajar boleh melayari www.ywm.gov.my/wakafonline dan memilih Sijil Wakaf Tunai Pendidikan atau sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB ISLAMIC BANK BERHAD ( 8602218186) untuk Program Dana Perlu.