Utusan Borneo (Sabah)

Mayat dua beranak hilang ditemukan terdampar di pantai

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KUDAT: Selepas dilaporkan hilang ketika memancing pada Jumaat lepas, akhirnya mayat Jobik Mokim, 47, bersama anak lelakinya Nick Hezron, 18, ditemukan terdampar di pantai dipercayai lemas.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan di kawasan pesisir pantai berhampira­n pusat peranginan Tampakan di sini, kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lepas.

Pegawai Perhubunga­n Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, kehilangan kedua-dua mangsa hanya disedari selepas bot yang digunakan mangsa ditemukan tersadai di Pantai Kampung Lok Dangkaan Pitas pada Sabtu lepas.

Menurutnya, berikutan penemuan bot terbabit, keluarga mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Operasi SAR mula dijalankan pada jam 7.51 pagi semalam (Ahad) di sekitar kawasan pesisir pantai dan kawasan bakau berhampira­n lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Bagaimanap­un, JBPM menerima makluman penemuan mayat di pesisir pantai berhampira­n sebuah pusat peranginan dan terus bergerak ke lokasi yang dilaporkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa pertama yang dipercayai Jobik diangkat menggunaka­n bot JBPM dan beberapa minit selepas itu, pasukan bomba menemukan mangsa kedua iaitu Nick.

Katanya, mangsa terus dinaikkan ke bot pasukan polis dengan dibantu pihak bomba dan Maritim Malaysia.

“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) untuk diserahkan kepada pihak polis dan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutny­a.

“Operasi ditamatkan pada jam 1.55 petang dan pasukan bomba terus bergerak balik ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat yang terletak 10 kilometer dari lokasi penemuan kedua-dua mangsa,” katanya.

 ??  ?? LEMAS: Pasukan bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa selepas ditemukan terdampar di pantai.
LEMAS: Pasukan bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa selepas ditemukan terdampar di pantai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia