Utusan Borneo (Sabah)

MCMC pelawa orang ramai sertai siasatan awam kajian semula standard mandatori EMF

-

PUTRAJAYA: Siasatan awam di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi mengkaji semula Standard Mandatori untuk Pancaran Medan Elektromag­net (EMF) dari Infrastruk­tur Komunikasi Radio-Penentuan Nombor 1 2010 (MS untuk EMF) akan diadakan bermula semalam hingga 17 Sept.

Menurut Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kajian semula itu penting selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi seperti 5G selain memberi jaminan kepada orang awam bahawa pancaran frekuensi radio EMF dari infrastruk­tur komunikasi radio dalam negara adalah selamat serta dikawal selia secara berkesan dan efisien.

“Semakan semula ini antara lain akan meliputi proses kemas kini had pendedahan EMF berpanduka­n kepada garis panduan terkini Suruhanjay­a Antarabang­sa Terhadap Perlindung­an Radiasi Bukan-Pengionan (ICNIRP) yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” kata MCMC dalam kenyataan.

Justeru, MCMC mempelawa orang ramai menyertai siasatan awam tersebut dengan melakukan penyerahan secara bertulis sama ada dalam salinan cetak atau elektronik.

Kesemua salinan perlu diserahkan kepada MCMC selewat-lewatnya jam 12.00 tengah hari,17 Sept ke alamat MCMC Menara 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Selangor atau emel tdd@mcmc.gov.my dan faksimili 03-8688 1000 dan kesemua salinan perlu dinyatakan dengan Perhatian: Jabatan Pembanguna­n Teknologi.

Menurut MCMC, pertimbang­an sewajarnya akan diberikan terhadap semua penyerahan bertulis tersebut sebelum laporan dikeluarka­n dalam tempoh 30 hari selepas siasatan awam tamat.

Dokumen siasatan awam tersebut boleh dilayari di pautan https://www.mcmc.gov.my/ skmmgovmy/media/General/pdf/PI_Mandatory_Standards_EMF-2021.pdf.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia