Utusan Borneo (Sabah)

Polis serah kompaun kepada MB Kedah

-

GEORGE TOWN: Polis telah menyerahka­n kompaun kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor setelah didapati melanggar prosedur operasi standard ( SOP) pada 5 Jun lepas ketika pelaksanaa­n Sekatan Pergerakan Penuh di dalam negara.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain bagaimanap­un tidak memberitah­u berapa nilai kompaun yang dikenakan kepada Muhammad Sanusi kerana didapati memandu uji kereta di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, dekat sini, pada tarikh berkenaan.

“Kompaun telah diserahkan semalam, nilai kompaun kena tanya kepada Menteri Besar Kedah sendiri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini semalam.

Siasatan kes itu dijalankan menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sebelum ini, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Pulau Pinang.

Komuniti media sosial kecoh sebelum ini susulan penularan gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kereta, sedangkan negara berada di bawah Sekatan Pergerakan

Penuh dengan pusat jualan dan pameran kenderaan tidak dibenarkan beroperasi.

Sementara itu, dalam perkembang­an lain, Mohd Shuhaily memberi amaran kepada orang ramai agar tidak merentas negeri atau daerah di Pulau Pinang bagi menyambut Hari Raya Aidiladha dan pihaknya juga telah mengambil tindakan drastik dengan memperketa­tkan sekatan jalan raya sejak semalam.

“Pihak polis telah menjalanka­n 46 sekatan jalan raya di negeri ini dan pada Sabtu lepas sebanyak 30,406 kenderaan telah diperiksa dan 40 kenderaan telah diarah berpatah balik.

“Manakala semalam pula, 25,608 kenderaan telah diperiksa dan 190 daripadany­a telah diarahkan berpatah balik kerana pelbagai kesalahan terutama tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk merentas negeri,” katanya.

Katanya mana-mana kenderaan yang didapati tidak mempunyai permit daripada pihak berkuasa akan diarahkan untuk berpatah balik dan jika ingkar pihaknya akan mengenakan kompaun kepada mereka.

“Orang ramai dinasihatk­an untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengurangk­an penularan COVID-19 terutama pada musim perayaan ini, bagi mana-mana pihak yang ingin melaksanak­an ibadah korban, mereka juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia