Utusan Borneo (Sabah)

Tiga tan durian habis dalam tempoh sejam

-

BAGAN SERAI: Sebanyak tiga tan durian habis dijual dalam tempoh sejam setiap hari di Jalan Pesiaran Raja Syed Thauphy 4 di sini selepas video jualan buah itu tular baru-baru ini.

Seorang penjual durian, Mohd Shukri Omcek, 27 berkata beliau tidak menyangka video jualan durian dengan harga RM1.99 sekilogram yang dimuat naik olehnya di media sosial baru-baru ini telah menyebabka­n pelanggan menyerbu tempat jualannya.

Katanya beliau mengambil inisiatif menjual dengan harga itu selepas terbaca rungutan orang ramai di ruangan komen portal dalam talian yang mengatakan harga durian mahal, dan hanya ‘golongan kayangan’ sahaja yang mampu membelinya.

“Ramai yang merungut durian dijual dengan harga mahal di pasaran sehingga golongan B40 tidak mampu membeli raja buah untuk dinikmati oleh keluarga mereka.

“Atas sebab itu, saya bersama seorang rakan mencari pekebun- pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan harga jualan secara borong dengan rendah supaya dapat dijual kepada orang ramai dengan harga yang rendah,” katanya ketika ditemui di gerai berkenaan semalam.

Mohd Shukri berkata beliau telah menjual buah durian dengan harga itu sejak seminggu lepas dan sambutan orang ramai amat mengalakka­n, dengan kebanyakan pelanggan datang lebih awal ke tapak jualan, sebelum lorinya tiba.

Sementara itu seorang pelanggan Zainudin Hamid, 48, berkata beliau mendapat tahu durian dijual dengan harga murah setelah menonton video yang tular di media sosial dan harga yang ditawarkan sangat rendah, berbaloi, sekali gus memberi peluang kepada yang berpendapa­tan rendah untuk menikmatin­ya.

Menurutnya semasa pandemik COVID- 19, ramai yang terjejas pendapatan dan tentunya tidak mampu untuk membeli durian sekiranya dijual dengan harga yang mahal.

“Sikap penjual durian yang menawarkan harga jualan durian murah seperti ini perlu dipuji kerana memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kenikmatan buah durian ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia