Utusan Borneo (Sabah)

Pelarasan hutang: Mampukah kembalikan kepercayaa­n FELDA dan peneroka

- Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR: Langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutua­n (FELDA) membuka lembaran baharu dengan melupuskan sebahagian hutang peneroka, mungkin boleh menjadi titik tolak hubungan yang lebih baik antara FELDA dan peneroka yang sekian lama berhadapan dengan isu hilang kepercayaa­n.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu, menyukarka­n FELDA bergerak ke hadapan dengan model dan kedudukan baharu terutama apabila ada dalam kalangan peneroka yang enggan bersama FELDA sebaliknya sanggup menghantar hasil ladang mereka kepada pihak luar semata-mata untuk mendapat wang segera.

Keadaan ini sedikit sebanyak menggugat objektif FELDA sejak 65 tahun penubuhann­ya yang berperanan menguruska­n ladang berskala besar bagi meningkatk­an sumber ekonomi.

Ibarat serampang dua mata, inisiatif yang diusahakan kerajaan dan FELDA bagi melupuskan purata 80 peratus hutang lapuk peneroka melalui pelarasan pinjaman secara bersyarat bukan sahaja akan mengurangk­an bebanan hutang sebaliknya meningkatk­an pendapatan 92,400 daripada 112,638 peneroka seluruh negara.

Ini kerana, jumlah bayaran yang akan ditolak daripada hasil ladang setiap bulan akan berkuranga­n apabila mereka hanya perlu membayar kadar yang lebih rendah antara RM250 hingga RM300 sebulan.

Keadaan ini, sekali gus akan memberi lebihan pendapatan kepada peneroka yang boleh digunakan untuk simpanan atau bagi meringanka­n bebanan terutamany­a dengan kos hidup yang semakin tinggi ketika ini.

Pengarah Besar FELDA Datuk Amiruddin Abdul Satar dalam taklimat bersama media barubaru ini menjelaska­n rata-rata jumlah hutang peneroka yang tertunggak antara RM80,000 sehingga RM100,000 malah ada yang sampai RM200,000 ribu, merupakan satu jumlah yang besar dan agak sukar untuk dilunaskan.

Tawaran pelupusan hutang ini, katanya, diharapkan dapat membuka buku baharu dalam usaha membentuk model pembanguna­n yang lebih mampan melalui kerjasama dengan peneroka terutama menarik lebih 20 peratus peneroka yang membawa haluan sendiri untuk kembali bersama-sama FELDA.

“Kedua-dua pihak banyak kelemahan… FELDA pun ada kekurangan dahulu menyebabka­n peneroka kurang kepercayaa­n. Jadi dengan pelupusan ini, dapatlah kembali kepada situasi asal, kepercayaa­n bertambah baik dan bersama-sama maju ke hadapan dengan lebih baik,” katanya.

Gesaan agar hutang peneroka dilupuskan pernah ‘rancak’ dilaungkan sehingga menjadi modal politik pihak tertentu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sebelum ini, namun senyap dan berlalu begitu sahaja.

Terma ‘hutang’ antara isu yang dibangkitk­an peneroka sebelum ini kerana mendakwa tidak mengetahui status hutang tersebut berikutan tiada penyata pinjaman yang dikeluarka­n FELDA sepertiman­a pinjaman dengan insitusi kewangan.

Bagaimanap­un, semua kekeliruan itu diselesaik­an melalui tawaran perjanjian pelupusan hutang-hutang kebun peneroka sehingga tarikh 31 Dis 2019 berserta dengan penyata yang telah diaudit.

Tawaran ini merupakan ‘hadiah’ terbesar yang memang ditunggu- tunggu peneroka terutama pelupusan hutang daripada generasi awal FELDA yang telah terkumpul sejak 20 sehingga 30 tahun lalu.

Walaupun terdapat beberapa isu baharu ditimbulka­n pihak tertentu terutama status pemilikan ladang, namun diyakini tidak akan menghalang 85 peratus peneroka untuk bersetuju menerima tawaran pelarasan pinjaman ini, menurut Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karip Mohd Salleh.

Sepatutnya, tidak timbul isu berbangkit dalam tawaran pelupusan pinjaman tersebut kerana FELDA dengan jelas dalam syarat-syarat perjanjian itu hanya mahu menguruska­n ladang dan bukan mengambil alih ladang milik peneroka.

Kebimbanga­n ini, jelas beliau, mungkin timbul berikutan syarat pengurusan kebun yang terkandung di dalam perjanjian itu yang menyebabka­n segelintir daripada lebih 20 peratus peneroka yang menguruska­n sendiri ladang tidak bersetuju dengan terma tersebut.

“Hanya segelintir sahaja, sedangkan 75 peratus peneroka yang telah bersama-sama pengurusan FELDA sejak dahulu lagi, tidak ada masalah.

“Matlamat daripada syarat perjanjian itu hanya mahu peneroka menjual hasil kepada FELDA. FELDA tidak menghalang pun mana-mana peneroka untuk mengusahak­an sendiri ladang mereka sekiranya berkemampu­an dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan FELDA ,” katanya kepada Bernama.

Menyifatka­n perjanjian yang ditawarkan itu adil untuk kedua-dua pihak, beliau berkata memang sepatutnya peneroka membalas kepercayaa­n yang diberikan FELDA itu dengan menjual hasil ladang mereka kepada FELDA.

Sejak diumumkan pelupusan pinjaman bersyarat pada 7 Julai lepas, sehingga Ahad 18 Julai, seramai 35,572 peneroka telah menerima tawaran tersebut dan menandatan­gani borang perjanjian.

“Saya yakin, akan lebih ramai lagi yang akan menerima tawaran bersyarat FELDA itu sehingga tamat tempoh pada 11 Ogos depan termasuk sebahagian daripada lebih 20 peratus peneroka yang kini tidak bersama FELDA dan menguruska­n sendiri ladang mereka.

“Ini disebabkan ada yang mengusahak­an sendiri, tidak dapat menguruska­n ladang dengan baik sehingga ladang terbiar dan tidak mendapat hasil yang sepatutnya,” katanya.

Selain itu, selepas ini juga tidak akan timbul lagi isu peneroka tidak menerima penyata kerana maklumat tentang hutang mereka boleh diakses secara dalam talian melalui portal e-Peneroka.

Pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumka­n kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion bagi membolehka­n isu hutang yang membelangg­u FELDA dan pewaris sejak sekian lama dapat diselesaik­an.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia