Utusan Borneo (Sabah)

Singapura tetapkan prosedur bawa pulang korban COVID-19

-

SINGAPURA: Pada Khamis, seorang lelaki warga Malaysia adalah antara 16 lagi orang yang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di Singapura.

Dengan sekatan perjalanan rentas sempadan, Singapura menetapkan beberapa prosedur bagi membolehka­n mayat warga asing yang meninggal dunia akibat COVID-19 dibawa pulang termasuk untuk rakyat Malaysia yang tinggal di republik itu.

Menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), ahli keluarga atau waris dinasihati untuk melakukan upacara pembakaran mayat sebelum membawa pulang abu mayat kembali ke negara asal mereka.

“Tiada permit khas diperlukan untuk membawa pulang abu mayat,” kata jurucakap agensi itu menerusi e-mel jawapan kepada BERNAMA, semalam.

Agensi berkenaan diajukan soalan selepas seorang lelaki Malaysia adalah antara 16 lagi korban terbaharu akibat kompilasi jangkitan COVID-19 di Singapura pada 21 Okt.

Bagi prosedur membawa pulang mayat keluar dari Singapura, NEA menegaskan, Permit Keranda (Export) yang dikeluarka­n oleh Pejabat Kesihatan Pelabuhan, perlu diperoleh.

“Waris juga perlu mengemukak­an kelulusan daripada negara yang bakal menerima mayat itu,” kata NEA, badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Kementeria­n Alam Sekitar dan Kelastrian.

“Oleh kerana proses mengawet mayat bagi korban jangkitan COVID-19 tidak dibenarkan, waris perlu menggunaka­n kaedah lain untuk pemulihara­an yang diluluskan oleh negara penerima serta syarikat penerbanga­n atau pengangkut­an,” jelasnya.

NEA adalah agensi yang menyediaka­n khidmat pembakaran mayat, pengebumia­n, rumah penyimpana­n abu mayat serta turut memberikan khidmat menabur abu mayat di republik itu.

Pengurus perkhidmat­an pengurusan jenazah dari Syarikat Jasa Budi Muslim Casket and Marble Contractor, Jameela Bee Md Ismail, ketika dihubungi Bernama berkata, syarikatny­a pernah diminta menguruska­n jenazah warga asing yang meninggal dunia akibat COVID19.

“Ia membabitka­n rakyat Bangladesh. Ketika itu tiada kapal terbang yang sedia mengangkut jenazah berkenaan. Kami terpaksa mengebumik­annya di sini,” katanya sambil menjelaska­n, kelulusan perlu diperoleh daripada pihak berkaitan termasuk waris dan pegawai kedutaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia