Utusan Borneo (Sabah)

11 nelayan Vietnam ditahan, rampasan bernilai RM2.8 juta

- Oleh Hamzah Sanudin

SANDAKAN: Seramai 11 nelayan asing warga Vietnam ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati menceroboh perairan negara di kawasan utara laut Pulau Langkayan, di sini, semalam.

Semua mereka ditahan bersama peralatan menangkap gamat dengan nilai keseluruha­n rampasan dianggarka­n berjumlah RM2.8 juta.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata kejayaan itu hasil maklumat risikan awam dan tindakan pantas Unit Risikan Marin PPM Sandakan di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil daripada operasi itu berjaya menahan dua kapal nelayan milik warga Vietnam selepas berada dalam kawasan perairan negara tanpa kebenaran.

“Kita telah menangkap seramai 11 individu terdiri juragan dan awak-awak warga Vietnam berumur lingkungan 10 sehingga 49 tahun.

“Pemeriksaa­n awal mendapati semua suspek tidak memiliki pengenalan diri serta kebenaran atau permit menjalanka­n aktiviti menangkap hidupan laut di perairan negara secara sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Beliau bekata, pihaknya turut merampas lapan set peralatan menangkap gamat dan hasil gamat yang dicuri tersimpan dalam beberapa tong yang diperoleh secara haram.

Menurutnya, nilai keseluruha­n rampasan termasuk dua kapal berkenaan dianggarka­n berjumlah RM2,873,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985 untuk juragan kapal dan Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985 untuk peralatan perikanan.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah masuk ke negara ini,” katanya.

Ahmad menegaskan PPM Wilayah Empat Sabah tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana sindiket jenayah rentas sempadan dan tindakan secara proaktif serta agresif akan diambil sekiranya didapati bersalah.

 ?? ?? TANGKAP: Semua warga asing berkenaan ditahan untuk tindakan selanjutny­a.
TANGKAP: Semua warga asing berkenaan ditahan untuk tindakan selanjutny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia