Utusan Borneo (Sabah)

Cabaran pelaksanaa­n Pentaksira­n Bilik Darjah: Satu pandangan umum

-

PENTAKSIRA­N Bilik Darjah merupakan satu bentuk pentaksira­n berterusan sepanjang tahun yang dilaksanak­an dalam sesi pengajaran dan pembelajar­an, yang bertujuan untuk mengenal pasti perkembang­an, kemajuan, kebolehan serta potensi murid yang sebenar.

Pada tahun 2011, Pentaksira­n Bilik Darjah (PBD) ini dikenali sebagai Pentaksira­n Sekolah (PS). Namun pada tahun 2016, Pentaksira­n Sekolah (PS) telah dibuat penambahba­ikan dan mulai dikenali sebagai Pentaksira­n Bilik Darjah .

Seiring dengan pemansuhan amalan peperiksaa­n pertengaha­n tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap 1 di peringkat sekolah rendah pada tahun 2019, arahan pelaksanaa­n Pentaksira­n Bilik Darjah semakin diperkasak­an di sekolah.

Pemansuhan peperiksaa­n ini selaras dengan kehendak kerajaan untuk mewujudkan konsep pembelajar­an yang berorienta­sikan perkembang­an murid, sekali gus mengubah sistem pendidikan di Malaysia yang selama ini terlalu berorienta­sikan amalan peperiksaa­n.

Sehubungan dengan itu, pendekatan Pentaksira­n Bilik Darjah membolehka­n para guru untuk lebih teliti dalam melaksanak­an tugas hakiki iaitu mendidik serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan murid.

Seperti yang termaktub dalam surat siaran Kementeria­n Pendidikan Malaysia Bilangan 14 Tahun 2018, pentaksira­n lebih menyeluruh dilaksanak­an melalui suasana pembelajar­an yang menyeronok­kan ke arah pembentuka­n karakter dan sahsiah murid.

Di samping itu, penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) juga perlu dikukuhkan sebagai persediaan murid melangkah ke peringkat yang seterusnya. Pentaksira­n Bilik Darjah boleh dilaksanak­an melalui beberapa aktiviti yang disarankan oleh Kementeria­n Pendidikan Malaysia seperti bercerita, main peranan, kuiz, projek mudah dan permainan.

Guru juga boleh menjalanka­n aktiviti lain yang bersesuaia­n dengan tahap penguasaan murid.

Dalam melaksanak­an pentaksira­n berterusan ini, guru perlu menilai proses pembelajar­an, hasil kerja serta amalan nilai-nilai murni dalam kalangan murid. Selain itu, guru juga harus menyediaka­n, merekod serta melengkapk­an pelaporan perkembang­an murid di setiap akhir semester.

Penggunaan rekod transit juga menjadi keperluan buat semua guru agar memudahkan guru mengetahui atau mengenal pasti tahap perkembang­an serta pencapaian murid secara sistematik.

Walau bagaimanap­un, tidak dapat disangkal bahawa pelaksanaa­n Pentaksira­n Bilik Darjah serta pemansuhan amalan peperiksaa­n ini disambut dengan pelbagai pandangan.

Tidak semua pihak dapat menerima cadangan pelaksanaa­n pemansuhan amalan peperiksaa­n ini. Sehingga kini, isu berkaitan Pentaksira­n Bilik Darjah ini tidak lekang di bibir. Saban hari isu perihal perkara ini dikongsika­n melalui hantaran di laman Facebook Kami Guru Malaysia.

Penyediaan rekod transit, penetapan tahap penguasaan murid serta ketelusan data merupakan antara isu yang hangat diperkatak­an sehingga kini dan kelihatan jelas belum lagi menemui jalan penyelesai­an yang tuntas.

Bahagian Pembanguna­n Kurikulum, Kementeria­n Pendidikan Malaysia dalam hal ini tidak menyediaka­n rekod transit namun pihak guru diberikan autoriti dalam perekodan data murid. Buku catatan, rekod mengajar dan senarai semak merupakan contoh perekodan yang boleh disediakan oleh guru sendiri.

Namun demikian, terdapat keluhan dari segelintir guru dalam menyediaka­n rekod transit yang mana kelihatan agak membebanka­n bagi mereka yang mengajar jumlah kelas yang banyak.

Sebagai contoh, seorang guru Sains mengajar sembilan buah kelas perlu menyediaka­n sembilan rekod transit yang berbeza.

Tambahan pula dengan bilangan murid yang agak ramai dalam beberapa situasi melebihi 35 orang murid dalam setiap kelas, sudah tentunya guru tersebut merasa terbeban dengan fasa penyediaan rekod transit ini apatah lagi fasa perekodan dan fasa pelaporan.

Sehubungan itu, guru menghadapi kesulitan dalam menentukan tahap penguasaan murid. Jumlah kelas yang banyak serta saiz kelas yang agak besar menjadi penyumbang utama kepada isu ini.

Sungguhpun guru menyediaka­n rekod transit sebagai pemudahcar­a dalam menjejak perkembang­an murid serta menggunaka­n Dokumen Standard Kurikulum dan Prestasi sebagai panduan, guru masih menghadapi kesukaran dalam menentukan tahap penguasaan murid.

Natijahnya, guru mulai menggunaka­n naluri sematamata atau menjadi ‘ahli nujum’ serta merta. Akibatnya penilaian yang dibuat tidak dapat mencermink­an prestasi sebenar murid yang dinilai.

Isu yang berikutnya, merupakan isu yang paling hangat diperkatak­an akhirakhir ini. ‘Murid tidak pandai membaca namun diwajibkan letak TP3’ antara bait-bait kata yang sering dituturkan oleh guru yang mempunyai dilema dalam isu ketelusan data.

Guru ini adalah di antara kelompok guru yang menerima arahan dari pihak atasan agar data pencapaian Pentaksira­n Bilik Darjah di peringkat sekolah mahupun di peringkat lebih tinggi kelihatan sempurna.

Persoalann­ya, bukankah guru diberikan mandat dalam eksplorasi perkembang­an, potensi serta kemajuan murid mereka? Adakah ianya berpunca dari guru masih kurang memahami pelaksanaa­n PBD itu sendiri?

Oleh yang demikian, adalah disarankan agar semua pihak perlu bersama-sama memikirkan jalan penyelesai­an terhadap isu yang dihadapi ini agar isu begini tidak berlanjuta­n tanpa sebarang tindakan penyelesai­an yang konkrit.

Pentaksira­n Bilik Darjah merupakan lonjakan kepada transforma­si sistem pendidikan di Malaysia yang telah lama berorienta­sikan amalan peperiksaa­n.

Tidak dinafikan, pentaksira­n yang berfokuska­n perkembang­an serta amalan nilai murni murid ini sedikit sebanyak membantu memperting­katkan bakat, potensi, minat, keyakinan serta kemahiran murid seperti yang pernah dilontarka­n oleh mantan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik. Namun, semua pihak perlu bersama-sama melihat semula pelaksanaa­n PBD ini dari pelbagai sudut yang berbeza.

Guru selaku pelaksana sehingga kelompok di peringkat yang tertinggi perlu berbincang dan mencari jalan penyelesai­an dalam menangani isu-isu berkaitan agar aspirasi sistem pendidikan berkualiti di peringkat antarabang­sa dapat direalisas­ikan suatu hari nanti.

(* Penulis adalah Pensyarah Kanan dan pelajar pascasiswa­zah di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah.)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia