Utusan Borneo (Sabah)

Keputusan kes rasuah Rosmah dijadual semula 1 Sept

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menetapkan tarikh baharu pada 1 September ini untuk keputusan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitka­n projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Catherine Nicholas ketika pengurusan kes di dalam kamarnya yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah.

Akberdin ketika ditemui pemberita berkata pihaknya dimaklumka­n untuk hadir ke prosiding pengurusan kes hari ini (semalam) melalui surat mahkamah bertarikh 29 Jun.

“Pihak-pihak hadir hari ini (semalam) dan mahkamah menjadualk­an semula tarikh keputusan baharu pada 1 September, jam 9 pagi,” katanya.

Poh, yang mengesahka­n perkara itu memberitah­u pemberita bahawa Hakim Mohamed Zaini Mazlan mahu memberikan keputusann­ya pada Ogos ini tetapi pihak-pihak hanya bersetuju bagi tarikh pada September.

Mohamed Zaini sebelum ini menetapkan 7 Julai untuk menyampaik­an keputusan sama ada isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah.

Pada 18 Februari tahun lepas, Rosmah, 70, diperintah membela diri terhadap tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap beliau.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantuny­a Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediaka­n tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Pada 24 Jun lepas, Rosmah memfailkan permohonan terbaharun­ya untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitka­n projek hibrid solar dihadapiny­a dan memohon perbicaraa­n penuh kes itu yang berlangsun­g sejak 2018, terbatal dan tidak sah.

Permohonan kebenaran semakan kehakiman itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 6 Julai ini.

Sebelum ini Rosmah telah memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini. Bagaimanap­un permohonan­nya ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutua­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia