Utusan Borneo (Sabah)

K’JAAN CARI JALAN TERBAIK

Tidak biar rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, kata Ismail Sabri

-

PASIR SALAK: Kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesai­kannya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kerajaan dahulu… rakyat kena ikat perut, tapi (kerajaan sekarang) kita cari kaedah agar rakyat tidak dibebani. Tidak pernah dalam sejarah kita bagi subsidi agar harga tidak naik.

“Kita subsidikan harga sebanyak RM77.7 bilion iaitu ayam, bahan api, elektrik, telur, minyak masak dan air. Kita ambil tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan,” katanya dalam ucapan penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah di sini semalam.

Minggu lepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dilaporkan berkata unjuran perbelanja­an subsidi kepengguna­an yang berjumlah RM77.3 bilion setakat ini bagi 2022 adalah jumlah subsidi tertinggi di dalam sejarah yang pernah ditanggung oleh manamana kerajaan.

Menurutnya unjuran subsidi kepengguna­an ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion); minyak masak (RM4 bilion); tepung dan elektrik bagi mengurangk­an kos sara hidup rakyat, serta bil subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.

Sementara itu Ismail Sabri berkata kerajaan hari ini adalah sebuah kerajaan yang akan memberikan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan dalam menyuburka­n semangat perpaduan, menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagai­an.

“Malah kerajaan hari ini akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahka­n kesejahter­aan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada yang ketinggala­n,” jelasnya.

Beliau turut membidas segelintir pihak yang menuduh kononnya kerajaan berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan berkaitan isu peningkata­n kos sara hidup.

“Kerajaan sedar banyak harga barangan meningkat. Saya sendiri membuat tinjauan rambang ke premis-premis perniagaan, ke pasar raya dan sebagainya untuk melihat sendiri dari segi fenomena kenaikan harga barang ini,” katanya.

Sementara itu menyentuh mengenai pembanguna­n dan kemajuan di negeri Perak, Ismail Sabri berkata beliau gembira dan berpuas hati dengan pelbagai program telah dirancang dan dilaksanak­an dengan baik.

“Saya gembira apabila kerajaan negeri memantapka­n industri pelanconga­nnya dengan menjenamak­an Pangkor sebagai destinasi pelanconga­n marin nautika melalui Penganjura­n Pangkor Internatio­nal Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC22).

“Selain itu terdapat 93 projek baharu dan sambungan, bagi pembanguna­n sekolah serta institusi pendidikan di Perak,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kementeria­n Sumber Manusia pula melalui Pertubuhan Keselamata­n Sosial kini membangunk­an Pusat Rehabilita­si Neuro Robotik dan Cybernetic­s Kebangsaan di Bandar Meru Raya yang melibatkan kos RM654 juta, menjadi satu-satunya negeri menawarkan kemudahan robotik ini.

Di bawah Pelan Pemulihan Nasional pula menurutnya Pihak Berkuasa Pelaksanaa­n Koridor Utara (NCIA) turut melaksanak­an beberapa program di Perak yang menawarkan 56,642 peluang pekerjaan, manakala Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar (KPLB) pula menyediaka­n peruntukan RM1.77 bilion bagi memastikan keselesaan dan kesejahter­aan penduduk luar bandar di negeri ini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? MESRA: Ismail Sabri (dua kanan) bergambar bersama pengunjung yang hadir selepas majlis perasmian penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, semalam.
— Gambar Bernama MESRA: Ismail Sabri (dua kanan) bergambar bersama pengunjung yang hadir selepas majlis perasmian penutupan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak 2022 di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia