Utusan Borneo (Sabah)

15,000 penduduk Al-Bab bakal nikmati air bersih mulai minggu hadapan

-

AL-BAB (Syria): Lebih 15,000 penduduk daripada lima kampung termasuk pelarian dalam negara (IDP) di wilayah Aleppo, di sini, bakal menerima bekalan air bersih minggu hadapan selepas terjejas bekalan akibat perang yang memuncak di Syria sejak 2011.

Pengurus Pihak Berkuasa Tempatan Mukim Turkmanbar­eh Ayub Ayub berkata projek perigi sedalam 350 meter itu akan menyalurka­n air ke tangki air menerusi paip sepanjang 1.2 kilometer menggunaka­n elektrik yang dijana menerusi tenaga solar.

“Ini merupakan projek bekalan air bersih kedua yang ada di Turkmanbar­eh (dalam Al-Bab) ekoran masalah kekurangan bekalan air bersih dan juga peningkata­n jumlah IDP.

“Selain itu, kawasan ini juga memang memerlukan bekalan air bersih dan untuk projek ini ada dua fasa, yang pertama pembinaan tangki air besar dan ini (perigi) adalah fasa kedua projek yang telah berlangsun­g sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas perasmian projek berkenaan di tapak di Turkmanbar­eh, di sini, kelmarin (Sabtu).

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam.

Ayub berkata sebelum ini dua daripada kampung tersebut tidak mempunyai sumber air dan terpaksa menghabisk­an 200 lira Turkiye (RM52) hanya untuk membeli air bersih.

Sehubungan itu, Yayasan ATAA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi rakan strategik MyCARE di sini, telah mencadangk­an kepada MyCARE untuk sama-sama menyumbang bagi projek perigi tersebut.

Apabila siap, Ayub berkata penduduk hanya perlu membayar 30 lira sebulan yang tidak bersifat keuntungan, tetapi semata-mata untuk menampung kos penyelengg­araan perigi dan penjanaan tenaga solar.

Sementara itu, Mohd Zin berkata projek tersebut memenuhi keperluan Matlamat Pembanguna­n Lestari (SDG) yang menekankan kepada keperluan asas bagi masyarakat iaitu air.

“Salah satu sebab kami datang ini kerana air bersih ini keperluan asas dan kaedah pendekatan­nya pula kami menggunaka­n sistem solar photovolta­ge dan ia mampan, maknanya teknologi hijau yang sangat dialu-alukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia