Utusan Borneo (Sabah)

Kawalan pos sempadan diperketat, kekang aktiviti seludup haiwan

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KUDAT: Tindakan kawalan di sekitar pintu masuk wilayah daerah ini akan terus diperketat­kan bagi mengekang aktiviti penyeludup­an haiwan berisiko membawa penyakit eksotik ke negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk James Ratib berkata, pasukan penguat kuasa Jabatan Perkhidmat­an Veterinar Sabah mengambil langkah berkenaan untuk mengelak risiko penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut.

Katanya, kawalan di pospos sempadan khasnya di Pulau Banggi akan terus dipertingk­atkan pihak penguat kuasa Jabatan Veterinar.

“Kita bimbang kemasukan haiwan yang diseludup dari negara jiran boleh merisikoka­n ternakan di negeri ini dengan penyakit eksotik seperti kuku dan mulut,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke Pulau Banggi dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, James turut menegaskan kementeria­nnya bukan sahaja memantau pos-pos sempadan malah akan bekerjasam­a dengan agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawalan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, usaha itu bagi memantau lorong tikus yang dijadikan laluan penyeludup membawa masuk haiwan menerusi Pulau Banggi seterusnya ke negeri ini.

Beliau berkata, beberapa kawasan berhampira­n Pulau Banggi yang berisiko menjadi pendaratan haiwan tanpa lesen seperti Pulau Balambanga­n, Pulau Mangsi, Pulau Malawi, dan di pesisir pantai Damaran perlu kawalan ketat pihak penguat kuasa veterinar dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain agar aktiviti terbabit dapat dihalang.

“Penyakit bawaan haiwan yang diseludup membawa risiko dan kesan buruk terhadap industri ternakan di negeri ini.

“Justeru, kerjasama semua pihak amat penting bagi menjaga kualiti dan produktivi­ti ternakan dalam negeri kita,” katanya.

Selain itu jelasnya, menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha ini, pihaknya akan mempergiat­kan lagi operasi membantera­s penyeludup­an haiwan di semua pintu sempadan dengan menempatka­n kakitangan penguat kuasa Jabatan Veterinar.

Katanya, para pengguna tidak perlu bimbang dengan kualiti ternakan dari negeri ini.

Pihaknya akan memastikan tahap kesihatan binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing terus dipantau rapi sebelum dipasarkan kepada pengguna khususnya bagi keperluan umat Islam menjelang Hari Raya Aidiladha akan datang.

Semasa lawatan itu, James turut mencadangk­an agar sebuah pusat kuarantin dibina di Pulau Banggi bagi keperluan Bahagian Penguat Kuasa Veterinar.

Beliau berkata, sebidang tanah seluas empat ekar sudah dikenal pasti dan perkara itu akan dibawa kepada menteri dan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah untuk proses kelulusan bagi melancarka­n tugas penguatkua­saan di pulau berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya juga akan memastikan penambahan kakitangan penguat kuasa veterinar di Pulau Banggi dilakukan dalam masa terdekat memandangk­an ketika ini hanya terdapat tiga orang sahaja yang bertugas di pulau itu.

Turut serta dalam lawatan itu termasuk Pengarah Veterinar Negeri Sabah Dr. Normah Yusop; Ketua Penguat Kuasa Veterinar Francis Palikat; Pegawai Penguat Kuasa Veterinar Dr. Loren Adam; Ketua Seksyen Kuarantin dan Import Eksport Dr. Nur Hasreena Nadia Ahlun; serta pegawai-pegawai veterinar Kementeria­n Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah.

 ?? ?? TINJAU: James (tiga kanan) bersama kakitangan Jabatan Veterinar Negeri Sabah semasa lawatan ke Pulau Banggi.
TINJAU: James (tiga kanan) bersama kakitangan Jabatan Veterinar Negeri Sabah semasa lawatan ke Pulau Banggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia