Utusan Borneo (Sabah)

PM saran komuniti antarabang­sa amalkan semangat ‘Keluarga Dunia’

-

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaranka­n komuniti antarabang­sa supaya bekerjasam­a dengan mengamalka­n semangat ‘keluarga dunia’ dalam menghadapi cabaran global terutamany­a ketika pascapande­mik.

Ismail Sabri berkata pandemik COVID-19 telah mengajar bahawa cabaran global yang berlaku ketika ini tidak boleh diatasi secara bersendiri­an atau secara ‘silo’.

Beliau berkata ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pascapande­mik yang kompleks selain terdapatny­a persaingan yang semakin sengit antara kuasakuasa besar dunia.

“Di Eropah misalnya kita menyaksika­n konflik yang memberikan kesan amat dahsyat, bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.

“Berikutan itu penting sekali bagi komuniti antarabang­sa melipatgan­dakan persediaan berdepan dengan ketidakten­tuan serta bekerjasam­a ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur,” katanya ketika merasmikan

Persidanga­n Meja Bulat Asia-Pasifik ke-35 menerusi rakaman video semalam.

Mengambil contoh di Malaysia, Perdana Menteri berkata semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang diamalkan ketika ini untuk menjalin kerjasama yang inklusif, mementingk­an kebersamaa­n serta mengutamak­an golongan yang paling memerlukan, ternyata dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesai­an yang lebih baik.

Beliau berkata permasalah­an global yang menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya untuk menguruska­n segera cabaran yang boleh mengakibat­kan kesan buruk kepada generasi akan datang.

Menyentuh mengenai ASEAN, Ismail Sabri berkata ASEAN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamak­an kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dalam menghadapi cabaran lalu dan yang mendatang.

Menurut Perdana Menteri, prinsip-prinsip asas ASEAN seperti saling bekerjasam­a dan menghormat­i kedaulatan negara serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.

“Sehubungan itu, ASEAN muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.

“Untuk itu ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala, bahkan minilatera­l dan juga kreativiti serta sokongan badanbadan bukan kerajaan untuk berjaya,” katanya.

Ismail Sabri berkata persaingan antara kuasakuasa besar juga tidak seharusnya memudaratk­an, malah rantau ASEAN perlu bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak dan libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini.

“Keutuhan ASEAN akan memberikan kesan positif kepada kita, dan disebabkan itu ia perlu terus kukuh dan produktif serta kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baharu di rantau ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata kepentinga­n China di rantau ini tidak boleh dinafikan dan sejak 2009 negara itu kekal menjadi rakan dagang utama ASEAN.

“Pada 2020, ASEAN mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China. Melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China, ASEAN berharap dapat mengekalka­n hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing,” katanya.

Dalam masa sama, menurut Perdana Menteri ASEAN juga harus terus memperkema­skan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan Amerika Syarikat berdasarka­n rasa saling hormat-menghormat­i dan semangat setiakawan yang tinggi.

“Amerika Syarikat, China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara serta diperkukuh­kan berdasarka­n kepada pematuhan undang-undang antarabang­sa yang telah lama wujud.

“Walaupun kita berdepan dengan cabaran yang hebat, kita mesti terus cekal dan tabah serta sama-sama mencari jalan penyelesai­an untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, lestari dan saksama,” katanya.

 ?? ?? ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia