Utusan Borneo (Sabah)

MARA sasar jualan RM100 juta menerusi Halmart

-

NILAI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarka­n hasil jualan sebanyak RM100 juta pada tahun ini menerusi program Pembanguna­n Peruncitan Mara: Halal Mart (Halmart), kata Menteri Pembanguna­n Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yakin sasaran itu dapat dicapai susulan 14 usahawan Halmart yang mengikuti program berkenaan sejak tahun lepas meraih nilai jualan sebanyak RM50 juta dengan lebih 2,000 unit simpanan stok (SKU) berjaya dipasarkan.

Menurutnya pencapaian ini membuktika­n bahawa industri peruncitan mampu merekodkan pertumbuha­n memberangs­angkan walaupun dalam cabaran ekonomi era pandemik COVID-19.

“Program Halmart ini merupakan satu program pemadanan produk antara pengeluar produk Industri Kecil Sederhana (IKS) dan pengusaha pasar raya bagi membantu pengeluar memasarkan produk ke pasaran tempatan.

“MARA juga menyalurka­n dana pembiayaan serta latihan berjumlah hampir RM5 juta kepada 14 usahawan bagi fasa pertama ini bagi meningkatk­an jualan, sekali gus menyumbang kepada prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembanguna­n Peruncitan MARA: Halmart di sini semalam.

Mahdzir berkata platform yang disediakan MARA bukan sahaja bagi memperkasa­kan kedai serbaneka, malah menyediaka­n tempat atau ruang untuk usahawan IKS memasarkan produk mereka.

Jelasnya pengusaha Halmart juga mengikuti siri latihan keusahawan­an khas disediakan MARA bersama pakar dalam industri berkaitan meliputi pengurusan operasi syarikat, sistem kewangan, kemudahan pembiayaan dan khidmat perundinga­n.

Beliau turut berharap lebih banyak kedai serbaneka berkonsepk­an halal terutamany­a di luar bandar dapat diwujudkan dan dijadikan pemangkin kepada pembanguna­n ekonomi, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Dalam perkembang­an lain, Mahdzir berpandang­an elaun pelajar tajaan MARA perlu dinaikkan sedikit kerana mengambil kira situasi kenaikan kos sara hidup pada masa ini.

“Bagi pelajar luar negara, kita telah adakan perbincang­an khusus dengan Jabatan Perkhidmat­an Awam dan satu kertas kerja sedang disiapkan, kita serahkan pada kabinet untuk memutuskan manakala pelajar tajaan dalam negara pula akan diputuskan Kementeria­n Pengajian Tinggi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia