Utusan Borneo (Sabah)

Pegawai polis didakwa minta dan terima suapan RM41,000

-

TAWAU: Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitka­n jumlah RM41,000 di Lahad Datu pada 2017.

Tertuduh, Saharulzam­an Alizaman, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Saharulzam­an berdepan dua pertuduhan meminta suapan berjumlah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan kepada seorang lelaki yang melakukan perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan RM4,000 bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan Saharulzam­an ketika bertugas sebagai Inspektor di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu antara 1.15 tengah hari hingga 4 petang,16 Ogos 2017.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai RM17,000 daripada lelaki itu di dalam sebuah kereta di Double Bay, bandar Lahad Datu, antara 3.09 petang dan 4 petang pada tarikh yang sama mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Semua pertuduhan itu memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahka­n pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi, melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Sandakan dan menetapkan 9 Sept depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia