Utusan Borneo (Sabah)

Bekalan ayam cukup menjelang Aidiladha, peniaga patuh harga siling

-

KUALA LUMPUR: Isu bekalan dan harga ayam tidak lagi timbul menjelang sambutan Aidiladha Ahad ini apabila rata-rata peniaga di Semenanjun­g mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan dan pengguna tiada masalah mendapatka­n bahan mentah itu.

Semalam, Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata semakan yang dibuat pasukan penguat kuasa mengesahka­n sememangny­a ayam kini dijual pada harga siling, malah terdapat penjual yang meletakkan harga kurang daripada RM9 sekilogram, jauh lebih rendah daripada harga siling.

Harga siling runcit ayam standard yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Julai ialah RM9.40 sekilogram bagi Semenanjun­g Malaysia, harga ayam di ladang ditetapkan pada RM6 sekilogram manakala harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10 sekilogram.

Lebih menarik apabila kawasan Parlimen Jasin di MELAKA mengadakan program Jualan Kasih Aidiladha Keluarga Malaysia Parlimen Jasin yang memberi peluang kepada orang ramai mendapatka­n bekalan ayam yang dijual pada harga RM10 seekor.

Program yang turut disertai Pertubuhan Peladang itu menawarkan harga istimewa ayam segar iaitu RM7 sekilogram, lebih murah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram.

Seorang pengunjung, Rafeah Ahmad, 71, dari Merlimau berkata harga ayam yang lebih murah daripada pasaran itu membantuny­a membuat persediaan untuk menyambut Aidiladha.

Di PERAK, tinjauan di Pasar Ayam Ipoh mendapati rata-rata meja jualan penuh dengan ayam bersaiz standard iaitu kira-kira sekilogram hingga dua kilogram.

Seorang peniaga ayam, Zaini Shaari, 52, berkata bekalan ayam kini mudah diperoleh dan kebanyakan pelanggan gemar membeli pada saat akhir menjelang musim perayaan.

Di PERLIS, seorang pesara kerajaan, Normawati Jamaluddin, 61, berkata beliau datang awal ke Pasar Sena untuk membeli enam ekor ayam bagi persiapan menyambut Aidiladha.

“Saya harap perkara ini (tindakan kerajaan) diteruskan bagi memastikan tiada ‘tangan ghaib’ yang menangguk di air keruh menaikkan harga barang sesuka hati mereka,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanak­an pelbagai kaedah bagi memastikan harga bahan mentah di negara ini terkawal dan bekalan mencukupi.

Di PAHANG, tinjauan di Pasar Besar Kuantan mendapati isu bekalan ayam tidak timbul selepas rata-rata pembekal kembali menghantar bekalan seperti yang diminta sejak beberapa minggu lepas.

Peniaga, Ahmad Darwis Sulaiman, 62, kini memperoleh bekalan hingga 200 ekor ayam sehari berbanding 50 hingga 60 ekor ayam sehari ketika isu kekurangan ayam yang menyebabka­n kerajaan menghentik­an eksport ternakan itu sebagai langkah mengatasin­ya.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di sekitar Shah Alam mendapati ratarata ayam standard dijual mengikut harga siling yang ditetapkan.

Seorang pekerja swasta, Norzamira Che Noh berkata harga baharu yang ditetapkan lebih berbaloi berbanding sebelum ini kerana perlu membayar caj tambahan untuk memotong ayam.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan di Pasar Besar Seremban mendapati ada peniaga yang tidak mempamerka­n harga ayam dijual namun setelah diteliti, ayam itu dijual mengikut harga siling ditetapkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia