Utusan Borneo (Sabah)

Peniaga rugi hampir RM1j kedai terbakar

-

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya musnah dalam kebakaran yang membabitka­n lapan deretan kedai di Jalan Hiliran di sini, malam kelmarin.

Nik Mohd Kamil Abu Bakar, 37, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam kelmarin, dia baru sahaja menutup kedainya dan masih berada di kawasan berdekatan sebelum dimaklumka­n kedainya terbakar.

“Saya tutup kedai dalam jam 10 malam sebab esok nak raya, tutup awal sikit, lepas itu saya jalan-jalan di kedai dekat sini nak cari baju anak, dalam 15 minit lepas tu ada orang beritahu ada api dalam kedai basikal saya.

“Saya bergegas ke kedai dan nampak api dah penuh di bahagian belakang kedai dan tak sempat nak selamatkan apa-apa pun sebab api marak dengan cepat,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam kelmarin.

Beliau berkata satu lagi kedainya yang menjual pakaian terletak bersebelah­an, turut dijilat api dan hanya sejumlah kecil barangan dapat diselamatk­an.

“Saya baru ambil stok barangan baharu sebab nak buka satu lagi kedai basikal di Gong Badak lepas raya ini, sekali dengan stok baharu habis terbakar. Ujian besar untuk saya pada malam raya ni, saya reda sajalah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 10.40 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika sampai di lokasi, kedai basikal berkenaan sudah musnah sepenuhnya dijilat api (lokasi kebakaran bermula). Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia