Utusan Borneo (Sabah)

Memandu mabuk, empat lelaki didenda RM10,000

- Oleh Hamzah Sanudin

TAWAU: Empat lelaki masing-masing didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.

Hiew Chee Siong, 38, Ajrin Ali, 29, Manfred Lo Shen Yao, 21, dan Sim San Keat, 32, didenda RM10,000 selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Leona Dominic Majiliau.

Mahkamah juga turut memerintah­kan Hiew, Ajrin dan Manfred menjalani hukuman tambahan penjara dua bulan, manakala Sim tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Kubota Sentral, kira-kira jam 11 malam, 25 Jun lalu.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah kesemua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Leona turut memberikan hukuman penjara tujuh hari terhadap Hiew dan Sim, Manfred pula dua hari manakala Ajirin tiga minggu serta lesen memandu digantung selama dua tahun.

Manfred juga didakwa mengikut Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana tidak memiliki lesen memandu yang menyebabka­n dia didenda sebanyak RM400 dan dua hari penjara sekiranya gagal bayar.

Pendakwaan dikendalik­an pegawai pendakwa Asisten Superinten­den Joan Lee. Tertuduh, Manfred dan Sim diwakili peguam Raymond Guok, manakala Hiew dan Ajrin tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Joan dalam hujahnya menegaskan kes pemandu mabuk semakin menjadi-jadi bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara.

Oleh itu, beliau memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman yang setimpal sebagai pengajaran dan peringatan kepada pemandu lain supaya tidak memandu dalam keadaan mabuk.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia