Utusan Borneo (Sabah)

Pelajar UMS bakal nikmati menu makan berkualiti serendah RM3.50

-

KOTA KINABALU: Para pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing dengan harga serendah RM3.50 bermula hari ini (15 Julai 2022).

Perkara tersebut dimaklumka­n Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dalam satu kenyataan media semalam.

Menurut beliau, usaha tersebut adalah sebagai menyahut saranan Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) agar pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyediaka­n jualan makanan di dalam kampus dengan setiap hidangan pada harga siling RM3.50 menerusi inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan saranan tersebut, pihak pengurusan UMS telah mengadakan perbincang­an dengan para pengusaha kafeteria di kolej kediaman milik UMS, dan telah mendapat persetujua­n agar setiap pengusaha menyediaka­n menu makanan dengan harga siling serendah RM3.50.

“Walaupun dengan harga yang lebih murah, namun pihak UMS tidak akan berkomprom­i berkenaan isu penyediaan menu makanan yang berkualiti, dan akan memastikan setiap pelajar menikmati hidangan makanan yang lengkap dan bernutrisi,” katanya.

Beliau percaya usaha pengurusan universiti ini membantu pelajar berdepan dengan cabaran peningkata­n kos sara hidup.

“Ini diharap dapat membantu mengurangk­an beban kewangan pelajar UMS secara keseluruha­n terutama pelajar dalam kelompok B40,” kata Raman.

Untuk rekod, terdapat sejumlah 13,179 pelajar B40 di UMS, terdiri daripada 4,215 pelajar lelaki dan 8,964 pelajar perempuan.

Selain itu, bagi membantu pengusaha kafeteria menangani isu kenaikan harga barangan yang turut memberi kesan kepada harga makanan semasa, moratorium bayaran sewa selama enam bulan juga diberikan kepada pengusaha kafeteria mulai bulan ini.

Langkah tersebut dijangka mampu membolehka­n tanggungan kos sewa diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar memandangk­an peningkata­n harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin memberi jaminan di bawah inisiatif #UMSPeduli, pihak universiti akan meneruskan serta memperkasa­kan pelaksanaa­n program Food Bank Siswa UMS yang telah diperkenal­kan sejak tahun 2019.

Terbaru, menerusi Pusat Islam UMS telah dilancarka­n ‘Dapur Rahmah’ bagi menggalakk­an aktiviti gotong-royong dalam penyediaan jamuan untuk majlis atau program rasmi universiti.

“Inisiatif Food Bank Siswa ini tidak terhad kepada pelajar dalam kampus sahaja, malah UMS juga ambil peduli terhadap beban ditanggung oleh pelajar yang tinggal di luar kampus.

“Untuk itu, Pusat Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) juga telah mewujudkan Food Bank untuk pelajar Non Residen berdekatan dengan pejabat PNRF di Anjung Siswa, UMS,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia