Utusan Borneo (Sabah)

Haji: Naik kapal laut, lihat dua kematian sebelum sampai ke Jeddah

-

MEKAH: Menaiki kapal laut selama 14 hari ke Jeddah, melihat dua kematian dan berdepan ombak besar menjadi kenangan berharga ketika mengerjaka­n haji pada 1963.

Che Saodah Abdull Hamid, 76, berkata pada masa itu beliau berusia 17 tahun mengikuti arwah datuk dan neneknya menaiki kapal laut dari Pelabuhan Pulau Pinang dengan hanya dipandu arah oleh seorang lelaki dipanggil ‘sheikh’.

Beliau yang menetap di Mekah selama 59 tahun berkata ‘sheikh’ tersebut bertanggun­gjawab membawa beberapa rombongan dan sebelum berangkat, semua jemaah akan dibawa ke rumahnya untuk berehat.

Berdasarka­n dokumen ‘Pas Haji Ke Makkah 1963’ yang ditunjukka­n kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, didapati ‘sheikh’ dimaksudka­n ialah individu bernama Tajuddin Amin, yang menguruska­n haji di Tanah Melayu dan Singapura.

Mengimbas kembali perjalanan­nya ke Tanah Suci menaiki kapal laut, Che Saodah berkata arwah datuk dan neneknya membuat keputusan untuk mengerjaka­n haji setelah duit yang dikumpul hasil mengerjaka­n bendang telah pun cukup.

“Tok wan (nenek) ada simpan duit di rumah. Hasil bendang... orang dulu-dulu simpan kat bawah tikar bantal. Bila dah cukup bawa duit untuk tunjuk pada ketua kampung. Tapi duit itu tidak diserah pada ketua kampung, kami serah kepada tok penghulu.

“Kemudian tok penghulu yang serah pada Lembaga Haji di Alor Setar, Kedah. Tak lama lepas itu barulah Lembaga Haji panggil kita untuk cucuk (suntik vaksin) dan bagi pasport. Kita hanya perlu ikut pak sheikh yang ditulis dalam pas haji,” ujarnya dengan loghat Kedah.

Menurut Che Saodah, ketika berangkat ke Tanah Suci, semua jemaah akan membawa pelbagai bahan makanan termasuk beras, daging kering, ikan bilis dan telur masin, pinggan dan cawan besi, bersama perkakas memasak.

Katanya, di atas kapal tersebut, kira-kira 200 jemaah dibahagi mengikut harga tiket yang dibeli iaitu kategori A, B dan C. Beliau, nenek serta datuknya berada pada kategori C, berharga RM1,500 seorang dan perlu tinggal di bahagian kapal paling bawah yang kadangkala terkena percikan ombak.

“Ketika seminggu berlayar ada dengar seorang lelaki mati. Saya tak pergi tengok dekat sebab yang meninggal itu di tingkat atas, cuma tahu ada yang mati sebab dengar kapten beritahu melalui pembesar suara.

“Minggu kedua ada seorang lagi lelaki mati, jatuh tangga...tok wan pening masa naik kapal dan suruh saya naik ke bahagian atas... nampak mayat dah siap dikapan dan nak buang ke laut, mereka letak dalam bot kecil. Ada diletak besi di hujung kaki mayat.

“Kapal bergerak perlahan sahaja pada masa itu dan ada dibacakan talkin dan doa. Selepas mayat diturunkan barulah kapal itu laju semula dan kami kemudianny­a singgah di Teluk Aden selama dua hari sebelum sambung perjalanan ke Jeddah,” katanya.

Menurut Che Saodah, ketika di Teluk Aden, semua jemaah diminta memasak sendiri dan akan mengambil bekalan makanan yang disimpan di stor kapal dengan merujuk tanda nama pada guni masing-masing.

Perjalanan selama 14 hari ke Jeddah baginya sangat mengujakan malah beliau bersyukur kerana mendapat layanan baik daripada ‘sheikh’ serta anak kapal, terutama ketika pemberian makanan waktu tengah hari dan malam, serta tempat tidur.

Menceritak­an bagaimana beliau membuat keputusan menetap di Mekah, ibu kepada enam anak itu berkata ia adalah satu perkara yang tidak dijangka dan sudah ketentuan takdirnya apabila berkahwin dengan rakyat Malaysia yang menetap di situ.

Katanya, selepas tiba di Jeddah, beliau masih perlu menunggu selama dua hari dan selepas itu seorang lelaki berbangsa Arab yang dikenali sebagai Mohammad Mukminah telah membawa mereka ke Mekah.

Oleh kerana ketibaanny­a di Mekah pada bulan Syaaban serta perlu menunggu kira-kira empat bulan sebelum musim haji, keluargany­a menumpang di rumah Muhammad Mukminah dan ketika itulah beliau dijodohkan dengan suaminya, yang juga merupakan anak kenalan datuknya iaitu seorang imam di Masjid Zahir Alor Setar, Abdullah Mohd Taib yang berkhidmat pada 1940.

Suaminya, Abdul Rahman menetap di Mekah setelah dibawa keluargany­a ketika berusia empat tahun, dan ketika berkahwin dengan Che Saodah beliau berusia 22 tahun. Selepas perkahwina­n itu, mereka berdua berpeluang bersama-sama mengerjaka­n haji pada 1963.

“Pada mulanya tok (datuk) ada tanya seronok tak berada di Mekah. Bila saya jawab seronok, tok cadangkan kahwin dengan anak kawan dia. Saya hanya setuju... kami menikah tanpa tengok macam mana rupa masing-masing. Cuma dimaklum akan kahwin dengan orang Melayu bukan orang Arab. Malam bersanding barulah tengok muka suami,” katanya.

Che Saodah berkata oleh kerana beliau tidak pulang ke Malaysia selepas berkahwin, ‘sheikh’ yang membawanya ke Jeddah telah memulangka­n wang sebanyak SR150 sebagai ganti rugi kerana tidak menaiki semula kapal laut dan wang tersebut masih disimpan rapi olehnya sebagai kenang-kenangan.

Menyingkap pengalaman mengerjaka­n haji pada masa itu, Che Saodah berkata jemaah perlu berjalan kaki agak jauh selain diberi pilihan menaiki kereta lembu atau bas.

Ketika itu, makanan juga disediakan orang Arab dengan satu menu sahaja dan tidur di khemah yang hanya didirikan menggunaka­n sebatang kayu sebagai tempat berteduh.

Ditanya adakah merindui Malaysia setelah lama menetap di Mekah, Che Saodah berkata pada awalnya beliau berasa sedih, namun kota Mekah terlalu dekat di hatinya dan beliau juga ada menitipkan surat kepada arwah datuk dan neneknya pada masa itu untuk mengubat rindu.

“Pada 1975 saya ada balik ke Malaysia, buat pertama kali naik kapal terbang. Selepas itu ada juga pulang ke tanah air bawa anak-anak untuk berjumpa keluarga. Kali terakhir pada 2019 sebelum COVID-19 pun kami balik kampung,” katanya yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.

Sepanjang temu bual berlangsun­g, Che Saodah yang berasal dari Alor Setar dilihat masih mengekalka­n budaya Melayu dan selain berbahasa Arab, beliau turut menggunaka­n bahasa Melayu dalam loghat Kedah ketika berbual bersama anak-anaknya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia