Utusan Borneo (Sabah)

PM JAMIN LINDUNGI ASET NEGARA

Isu tuntutan kumpulan Sulu ditangani ikut saluran perundanga­n sedia ada

-

PUTRAJAYA: Susulan isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunaka­n saluran perundanga­n sedia ada.

“Kita lindungi (aset) dari segi perundanga­n. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua (aset) secara perundanga­n.

“Saya beri jaminan tidak akan berkomprom­i dan berganjak walau seinci pun dalam mempertaha­nkan hak dan kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidanga­n Keselamata­n Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamata­n Negara 2022, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentinga­n aset-aset Malaysia di luar negara khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukaka­n pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatka­n pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdaganga­n British pada 1878.

Ismail Sabri berkata beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan UndangUnda­ng) Datuk Seri Dr

Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 14 Julai lepas telah bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaska­n undangunda­ng sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

“Pasukan khas telah ditubuhkan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh bukan setakat aset Petronas tetapi asetaset negara yang lain di luar negara. Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruha­n,” katanya.

Ditanya keperluan kerajaan menggerakk­an sistem keselamata­n untuk mempertaha­nkan aset di luar negara, Ismail Sabri berkata: “Bukan senang bawa sekuriti ke negara lain kecuali Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB).”

Pada Mac lepas, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaa­n daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandask­an undangunda­ng.

Katanya keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undangunda­ng.

Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarka­n permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantun­g penguatkua­saan Final Award yang dikeluarka­n Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundanga­n kes itu menjejaska­n kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataan Wan Junaidi pada 13 Julai lepas, beliau berkata kesan daripada perintah penggantun­gan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuas­akan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia. — Bernama

 ?? ?? ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia