Utusan Borneo (Sabah)

Sabah akan hentikan operasi syarikat gagal bayar CJN

- Oleh Siti Aisyah Narudin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan menghentik­an dan membatalka­n semua pas kerja untuk syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini berkuat kuasa pada 1 Oktober 2022.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, tindakan berkenaan akan dilaksanak­an sekiranya pihak syarikat terbabit masih gagal untuk membayar tunggakan Cukai Jualan Negeri (CJN) yang dituntut kerajaan negeri.

Katanya, surat makluman berkenaan tindakan terbabit kepada syarikat itu dikeluarka­n oleh kerajaan negeri pada 8 Julai 2022.

“Pada 8 Jun lepas, kerajaan negeri mengeluark­an surat tuntutan CJN kepada syarikat terbabit diikuti pada 14 Jun 2022, kerajaan negeri mengeluark­an surat penolakan kepada rayuan yang dikemukaka­n oleh pihak syarikat terbabit.

“Pengarah CJN turut mengeluark­an notis taksiran kepada syarikat berkenaan pada 21 Jun 2022 bagi menuntut pembayaran cukai tertunggak serta penalti yang berjumlah RM97.31 juta melibatkan cukai sebanyak RM65.65 juta dan penalti RM31.66 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai tindakan yang diambil kerajaan negeri terhadap dua syarikat sektor minyak dan gas yang beroperasi di Sabah akibat gagal membayar CJN.

Masidi berkata, pihak syarikat terbabit perlu menjelaska­n secara penuh tunggakan CJN dan penalti dalam tempoh 30 hari dari tarikh surat dikeluarka­n sebelum tindakan sivil diambil kerajaan negeri jika tunggakan gagal dibayar.

Menurutnya, pada 22 Jun 2022, pihak PETRONAS dan syarikat berkenaan mengadakan perbincang­an berkenaan tunggakan cukai dan penalti yang dikenakan oleh kerajaan negeri.

“Keputusan yang dicapai adalah pihak syarikat terbabit meminta tempoh penangguha­n selama seminggu untuk berunding dengan PETRONAS dan akan memaklumka­n keputusan mereka selepas tempoh terbabit.

“Pada 1 Julai 2022, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat dengan PETRONAS untuk membincang­kan tindakan selanjutny­a yang akan diambil terhadap syarikat berkenaan susulan kepada persetujua­n yang dicapai melalui mesyuarat pada 22 Jun 2022,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia